KKM kesan 2 produk kosmetik mengandungi merkuri

13 Feb 2023 • 1:41 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PETALING JAYA: KKM mengesan dua produk kosmetik mengandungi merkuri dan kini tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah membatalkan notifikasi bagi Karisma Turmeric Booster Cream dan Flashhskinzz Treatment Cream kerana dikesan mengandungi racun berjadual, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Susulan itu, beliau menggesa semua penjual dan pengedar produk terbabit agar menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta merta.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, mereka yang melakukan kesalahan itu berdepan denda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.”

Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai agar menghentikan penggunaan produk terbabit dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.