
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat dua kes positif melibatkan cacar monyet (mpox) yang dikesan di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kes berkenaan disahkan berlaku bulan lalu melibatkan dua lelaki; seorang warga asing dan seorang lagi warga tempatan.
"Kes pertama disahkan pada 26 Julai melibatkan seorang lelaki warga asing yang telah bekerja di Malaysia.
“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara yang melaporkan kes mpox pada 6 Julai 2023 dan kembali semula ke Malaysia pada 10 Julai 2023.
"Beliau disyaki mendapat jangkitan semasa berada di luar negara iaitu negara yang melaporkan kes mpox," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Kes pertama melibatkan warga asing itu menunjukkan simptom dijangkiti mpox pada 19 Julai dan gejala lepuh mula muncul empat hari kemudian.
Lelaki berkenaan telah menjalani isolasi dan dibebaskan pada 10 Ogos 2023 setelah pulih sepenuhnya tanpa komplikasi.
Kes kedua yang dilaporkan adalah melibatkan kes kontak mpox yang pertama.
Lelaki tempatan tersebut dilaporkan mengalami gejala semasa menjalani kuarantin sehingga ke hari ini.
"Beliau telah diarahkan menjalani kuarantin sejak 27 Julai 2023 dan disahkan positif mpox pada 29 Julai.
"Beliau masih dalam tempoh isolasi dan dalam keadaan sihat," katanya.
Dr Muhammad Radzi berkata, semua kontak bagi kes pertama telah dikenal pasti dan status kesihatan mereka telah dipantau ketat oleh pihak KKM.
Berdasarkan pemantauan KKM itu, tiada yang menunjukkan mengalami gejala jangkitan berkenaan kecuali melibatkan dua kes tersebut.
Menurut KKM, mpox boleh dijangkiti sekiranya berlaku sentuhan rapat daripada indvidu bergejala dan mempunyai tanda dijangkiti virus itu.
"Tempoh inkubasi sebelum indvidu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara lima ke 21 hari dari tarikh pendedahan kepada jangkitan.
"Indvidu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering sepenuhnya.
"Lazimnya kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus," katanya..
KKM turut menasihatkan semua pengembara yang tiba dari negara-negara melaporkan adanya kes mpox untuk memantau status kesihatan kendiri setiap hari.
Ini termasuk memantau gejala jangkitan dalam tempoh selama 21 hari dari hari ketibaan ke Malaysia.
Antara gejala-gejala yang boleh dikenal pasti adalah seperti demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular.
Ruam berkenaan boleh bermula di muka kemudian merebak ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian-bahagian tubuh yang lain.
Pesakit juga mungkin akan mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa.
Pada Ogos tahun lalu, empat negara jiran telah melaporkan dijangkiti virus cacar monyet iaitu Indonesia, Filipina, Thailand dan juga Singapura.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini telah mengisytiharkan kecemasan kesihatan global, dengan lebih 40,000 kes cacar monyet yang disahkan, termasuk kematian, di lebih 80 negara yang virus itu bukan endemik. – Getaran, 25 Ogos 2023
