KKM Laksana Penempatan PPS Siri Ketiga, Ringankan Beban Kerja

22 May 2024 • 1:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Penempatan PPS siri ketiga dibuat kerana slot pengisian bertambah baik - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Penempatan pegawai perubatan siswazah (PPS) baharu siri ketiga telah dibuka, melibatkan beberapa hospital lain dan hospital negeri.

Jurucakap Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, keputusan tersebut dibuat memandangkan peratus pengisian slot PPS bertambah baik. 

Menurut beliau, tawaran penempatan ini dilaksanakan menerusi sistem e-houseman pada 13 Mei yang melibatkan 792 orang calon.

“Sebelum ini, KKM telah memutuskan pada awal tahun ini agar penempatan dibuka kepada hospital negeri sahaja disebabkan pelantikan PPS semakin menurun dan pengisian slot PPS di hospital negeri juga berkurangan.

“Sehingga April tahun ini, KKM telah melaksanakan dua siri lantikan baharu PPS, melibatkan 701 orang pada siri lantikan pertama, dan 803 orang pada siri lantikan kedua,” katanya.

Jelas jurucakap itu, penempatan PPS untuk siri lantikan seterusnya di hospital-hospital lain akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa berdasarkan bilangan calon yang diterima daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

“KKM amat memahami cabaran yang dihadapi oleh petugas kesihatan di seluruh negara dalam menghadapi peningkatan bebanan kerja. 

“Beberapa langkah jangka pendek dan jangka panjang akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini,” katanya. 

Beliau menarik perhatian, 747 pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan siswazah akan ditempatkan ke semua negeri bagi menampung kekurangan pegawai perubatan sedia ada sepanjang bulan ini. 

“Tujuan latihan yang diberikan kepada PPS sewaktu penempatan adalah supaya mereka mendapat pendedahan dan latihan klinikal yang mencukupi.

“Ini penting agar mereka mampu memberi perkhidmatan yang berkualiti serta dapat mengamal dengan selamat,” katanya. 

KKM tambah jurucakap itu, turut mengarahkan semua Pengarah Hospital untuk memastikan kebajikan semua petugas kesihatan terpelihara.

“Perkara ini sentiasa menjadi keutamaan walaupun tahap pengisian PPS di hospital-hospital masih dalam proses penambahbaikan,” katanya. - Getaran, 22 Mei 2024