KKM nafi jururawat akan disuntik vaksin ‘Virus X’

5 Oct 2023 • 3:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
KKM menafikan dakwaan berkenaan yang tular di aplikasi TikTok.

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan bahawa jururawat di negara ini akan disuntik dengan vaksin Virus X, yang juga ancaman pandemik besar terbaru, sebagaimana ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

KKM dalam kenyataan memaklumkan, kandungan berita tidak benar itu telah tular di aplikasi TikTok.

“Berkaitan dakwaan kononnya para jururawat di Malaysia akan disuntik dengan vaksin Virus X, kementerian ingin memaklumkan bahawa sebaran maklumat tersebut tidak tepat dan tidak bertanggungjawab.

“Ini boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap barisan hadapan petugas kesihatan khususnya jururawat yang telah menyumbang bakti mereka kepada negara,” menurut kenyataan itu pada Khamis.

Sebuah video berdurasi 5 minit dan 16 saat berkaitan dakwaan berkenaan tular di aplikasi TikTok sejak beberapa hari lalu sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Virus X dipercayai akan menjadi ancaman terbaru dunia dan dikatakan boleh meragut sehingga jutaan nyawa berbanding Covid-19.

WHO turut menjangkakan ia boleh berlaku pada bila-bila masa dan menyarankan penyediaan segera vaksin sebagai tindak balas cepat setelah dunia berada pada situasi 'tidak bersedia' ketika menghadapi Covid-19 pada awal 2020.

Sementara itu, KKM turut menasihatkan orang ramai untuk menghentikan sebarang perkongsian maklumat palsu tersebut kerana ia boleh mengancam dan menimbulkan keresahan awam.

Jelasnya, mereka boleh melayari sebenarnya.my sebelum berkongsi berita yang tidak ditentukan kesahihannya.