KKM Perhalusi Keperluan, Bukan Timbang Ambil Jururawat Luar - Dr Zaliha

31 May 2023 • 5:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kerajaan menafikan sedang menimbang kemungkinan untuk menggaji jururawat dari luar negara bagi memenuhi keperluan di hospital swasta - Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR - Kerajaan menafikan sedang menimbang kemungkinan untuk menggaji jururawat dari luar negara bagi memenuhi keperluan di hospital swasta.

Menafikan laporan itu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sebaliknya sedang memperhalusi setiap keperluan petugas kesihatan.

image is not available
Dr Zaliha Mustafa - Gambar Fail

“Kerajaan sentiasa menghargai dan memberikan sokongan kepada jururawat tempatan yang berkorban masa serta tenaga demi menjaga kesihatan rakyat Malaysia,” katanya menerusi ciapan ringkas di Twitter.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan disiarkan sebuah televisyen swasta, semalam.

Laporan yang disiarkan menerusi program berita utama stesen berkenaan memetik Dr Zaliha dipetik sebagai berkata, kerajaan sedang menghalusi pelbagai saluran dan mengadakan pelbagai sesi libat urus, untuk melihat serta mengenal pasti aspek yang memerlukan bantuan.

Menerusi video disiarkan stesen berkenaan di YouTube, Dr Zaliha dengan jelas berkata, kekurangan jururawat di hospital swasta sememangnya sedia dimaklumi oleh KKM.

Katanya, kementerian sentiasa mencari ruang untuk membantu sektor perubatan swasta memenuhi keperluan mereka.

Sementara itu, respons pantas Dr Zaliha menjelaskan perkara itu menerima pujian netizen.

Menggunakan akaun @abdkadirmimie, seorang pengguna meminta media lebih berhati-hati dalam membuat laporan.

“Selalu sangat rakyat dapat berita yang tidak benar dan boleh mendatangkan persepsi yang negatif. 

“Media sepatutnya lebih bertanggungjawab. Tahniah kerana menteri cepat-cepat memberikan penjelasan,” katanya, sebagai membalas ciapan Dr Zaliha.

Pendapat senada diluahkan @naimbinzaini yang meminta jentera media menteri berkenaan menjalankan peranan dengan lebih aktif bagi mengelakkan serangan pembangkang.

“Nasib baik cepat bertindak jawab persoalan. Jgn biar benda-benda macam ni melarat tanpa respon. Giatkan pasukan media YB. Selain teks, hasilkan juga video penerangan. Bila dapat pembangkang yang dahagakan isu, kita kena pastikan mereka terus dahaga sampai kebuluran,” katanya. - Getaran, 31 Mei 2023