KKM rangka langkah untuk selesaikan isu-isu berbangkit

2 Feb 2023 • 8:00 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) dalam proses merangka langkah-langkah bagi menyelesaikan isu berbangkit melibatkan situasi semasa sistem kesihatan negara, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa (gambar).

Beliau berkata pendekatan bersasar yang dirancang melibatkan usaha menangani pelbagai isu termasuk soal kebajikan, kesihatan fizikal dan mental petugas kesihatan, penetapan gaji yang saksama serta jaminan pekerjaan.

“KKM juga akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan bagi membentangkan perincian mengenai keperluan untuk mendapatkan peruntukan yang lebih besar meliputi aspek infrastruktur, digitalisasi sistem dan sumber manusia,” katanya dalam catatan di Twitternya hari semalam.

Katanya pertemuan berkala dengan semua pihak berkepentingan juga akan terus dilaksanakan bagi mendapatkan maklum balas terutamanya dapatan daripada kakitangan di lapangan.

“Ini termasuk bagi mengenal pasti penyelesaian jangka pendek dan panjang yang perlu diberi keutamaan dalam situasi sekarang. Sebahagian besar proses perubahan sistem kesihatan ini menuntut pendekatan merentasi agensi,” katanya.

“Semua perkara yang disebut juga merupakan sebahagian daripada pembaharuan dan keutamaan Kertas Putih Kesihatan yang akan dijadikan sebagai penanda aras kepada pelbagai reformasi sektor kesihatan pada masa akan datang,” tambahnya. -Bernama