KKM sahkan seorang lelaki warganegara positif Mpox

17 Sep 2024 • 12:59 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan seorang lelaki warganegara positif mengalami Mpox.

Menurut kenyataan KKM yang dikeluarkan KKM, pesakit tersebut telah disahkan terjangkiti Mpox. Pesakit mula menunjukkan gejala demam, sakit tekak dan batuk pada 11 September, manakala ruam muncul pada 12 September.

Pesakit tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala muncul dan kini berada dalam isolasi serta keadaan yang stabil.

Semua kontak pesakit sedang dikenalpasti dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut SOP yang ketat.

KKM menggalakkan orang ramai mengambil langkah-langkah kawalan kesihatan kendiri seperti mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer).

Pengamal perubatan di barisan hadapan juga perlu peka terhadap individu yang datang dengan gejala ruam dan lepuh, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

Bagi kes yang disyaki mpox, sampel swab lepuh, swab oral dan darah/serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox. Kes disyaki Mpox hendaklah dinotifikasi ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan.

Apa itu Mpox?

Mpox adalah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus monkeypox (MPVX).

Jangkitan berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan Mpox. Gejala Mpox adalah demam berserta ruam makula papular atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea.

Tempoh inkubasi sebelum individu menunjukkan gejala adalah antara lima (5) ke 21 hari dari pendedahan kepada jangkitan. Individu yang positif Mpox boleh menjangkiti orang lain antara sehari sebelum gejala muncul sehingga semua lepuh telah kering serta tanggal sepenuhnya. Lazimnya kes Mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus.