KKM Sedang Membangunkan Super App Untuk Mengurus Perkhidmatan Kesihatan, Termasuk Permintaan Ambulans

TechnologyDigital
20 Nov 2024 • 6:05 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada minggu lepas, kami telah melaporkan bahawa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sedang mempertimbangkan pembangunan perkhidmatan seru pandu ambulans seakan Grab dan untuk tidak memiliki lagi sebarang kenderaan ambulans di hospital-hospital kerajaan.

Terkini, ia dilaporkan bahawa pihak KKM sedang dalam proses membangunkan sebuah super app untuk menguruskan pelbagai perkhidmatan kesihatan, termasuklah untuk ciri perkhidmatan seru pandu ambulans tersebut.

Perkara ini nampaknya disahkan sendiri oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Lukanisman Awang Sani. Beliau mengatakan bahawa ini adalah sebahagian daripada proses pendigitalan dan pemerkasaan industri perubatan dan sistem kesihatan di Malaysia.

image is not available

“Aplikasi ini selaras dengan penggunaan e-hailing yang semakin berkembang dan kerap diguna pakai di kawasan bandar,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KKM dan Institut Jantung Negara (IJN) untuk program Cardiovascular Prevention Continues Medical Education (CME) yang berlangsung pada hari Selasa.

Beliau juga mengatakan bahawa untuk perkhidmatan seru-pandu ambulans ini, ciri tersebut dilihat lebih bersesuaian untuk digunakan di lokasi-lokasi bandar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuching. Walupun begitu, ia dilihat bahawa talian kecemasan 999 masih lebih sesuai digunakan di kawasan-kawasan pedalaman atau luar bandar.

Dalam pada itu, pihak KKM juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan, badan NGO dan sektor industri kesihatan untuk memperhalusi inisiatif ini sebelum ia dilaksanakan.