KKM sedia pertimbang haram vape - Dr Dzulkefly

8 Jun 2024 • 8:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Dzulkefly

PORT DICKSON - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia mempertimbangkan untuk mengharamkan penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape pada masa akan datang seperti mana dilakukan beberapa negara lain.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun buat masa ini pihaknya mengambil langkah mengawal selia produk tersebut terlebih dahulu di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852).

"Undang-undang dan peraturan-peraturan boleh disemak dan dipinda sekiranya perlu, demi kesihatan awam.

"Akta dan peraturan yang akan berkuat kuasa bulan ini akan dilaksanakan terlebih dahulu, yang akan menjadikan produk merokok termasuk vape sebagai produk yang dikawal selia dengan ketat," katanya ditemui pemberita pada program Tinjauan Mesra Premis Bersih, Bebas Asap(Bebas) di PD Waterfront di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan kerajaan Hong Kong mengumumkan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan vape di negara itu.

Menurut Dzulkefly, sebarang pertimbangan lain termasuk mengetatkan undang-undang dan peraturan, boleh dipertimbangkan pada masa hadapan berdasarkan keberkesanan undang-undang dan peraturan sedia ada.

Tambahnya, sekiranya ada cadangan lain ia akan dipertimbangkan menurut tata cara sedia ada dan harus dibahaskan dengan sihat dalam sebuah ruang demokrasi yang matang.

"Saya memang gusar dengan amalan vape dalam kalangan remaja dan semua pihak perlu memainkan peranan untuk mengawalnya," katanya.

Sementara itu katanya, sebanyak 96,127 notis di bawah Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dikeluarkan sepanjang tahun lalu dan 38,347 notis dikeluarkan bagi tempoh empat bulan tahun ini.

Tambahnya, khusus bagi Peraturan 11(1)(d), PPKHT 2004 iaitu larangan merokok di tempat makan pula, sejumlah 41,581 notis kesalahan dikeluarkan pada tahun 2023.

"Dalam tempoh tahun ini sehingga April, sebanyak 16,705 notis kesalahan telah dikeluarkan.

"Selangor merekodkan negeri paling tinggi mengeluarkan notis kesalahan merokok di tempat makan iaitu 6,174 notis diikuti Pahang (5,054), Johor (3,824), Pulau Pinang (2,974) dan Sarawak (2,680)," katanya.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 11,652 premis makanan di seluruh negara telah menerima pengiktirafan Premis Bersih dan Selamat (BeSS).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!