
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan siasatan berhubung aduan disyaki keracunan makanan yang dikaitkan dengan sebuah produk roti susulan laporan yang tular di media sosial.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, KKM memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Akta Makanan 1983 serta peraturan-peraturan berkaitan.
Menurut kementerian itu, syarikat pengeluar produk berkenaan telah diminta memberikan penjelasan dan memaklumkan bahawa siasatan dalaman mereka tidak menemukan sebarang ketidakaturan dalam proses pengeluaran, perubahan resipi atau pelanggaran prosedur keselamatan makanan.
Bagaimanapun, KKM berkata punca sebenar aduan masih belum dapat dikenal pasti berikutan maklumat yang diberikan, termasuk nombor kelompok pengeluaran dan tarikh luput, tidak mencukupi untuk mengesan produk terlibat sepenuhnya.
Baki produk serta pembungkusannya telah diambil daripada pengadu dengan persetujuan mereka untuk menjalani analisis makmal.
KKM menegaskan bahawa hasil siasatan dalaman pengeluar tidak boleh dianggap sebagai penentuan muktamad terhadap punca gejala yang dilaporkan pengguna.
"Kementerian masih menunggu keputusan analisis makmal, manakala pemeriksaan lanjut akan dijalankan di kilang bagi menilai tahap pematuhan terhadap Akta Makanan 1983," katanya.
Kementerian itu memberi amaran, tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau risiko terhadap keselamatan makanan.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sementara siasatan masih berjalan.
Pengguna yang mengalami gejala seperti muntah, cirit-birit atau ketidakselesaan perut selepas mengambil produk berkenaan diminta mendapatkan rawatan perubatan dengan segera dan melaporkan kejadian itu kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.
Aduan berkaitan keselamatan makanan juga boleh disalurkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) di https://moh.spab.gov.my/ atau melalui laman Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan. - Getaran, 8 November 2026






