KKM Tarik Semula Aiskrim Haagen-Dazs, Didakwa Kandungi ETO Berlebihan

11 Aug 2022 • 5:47 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menarik semula produk aiskrim berjenama Haagen-Dazs dari pasaran Eropah kerana didakwa mengandungi bahan Ethylene Oxide (ETO) berlebihan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penarikan semula itu dibuat berdasarkan laporan notifikasi European Union Alert Systems for Food and Feed (EURASAFF).

“Notifikasi tersebut menyatakan bahawa terdapat penarikan balik produk aiskrim dari negara Perancis yang mengandungi esktrak vanilla dari Madagascar yang dikesan mengandungi ETO melebihi tahap yang dibenarkan.

“Produk aiskrim tersebut juga telah diedarkan ke beberapa buah negara termasuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

image is not available
Gambar: KKM

Sehubungan itu, KKM mengambil tindakan yang sewajarnya di mana pihak syarikat yang mengimport produk aiskrim tersebut telah menarik balik jualannya di pasaran secara sukarela.

“Pemantauan yang berterusan juga dilaksanakan bagi memastikan produk terlibat tidak dipasarkan di negara ini,” maklum KKM dalam kenyataan itu.

Tambah Noor Hisham, ETO merupakan sebatian gas kimia yang bersifat karsinogenik dan sering digunakan bagi menjalankan fumigasi atau pewasapan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.

“Ianya juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan,” tambah kenyataan itu.

Oleh hal yang demikian, KKM mengambil langkah sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna di negara ini khususnya.

Bagaimanapun, sekiranya pengguna masih ragu-ragu akan produk berjenama terlibat yang dijual, mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau menyalurkan pertanyaan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).