
BINTULU: Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang menunggu kelulusan peruntukan bagi Projek Menaiktaraf dan Pemulihan Jalan Bakun yang dimohon dalam Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia ke-12 (2024).
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (gambar) berkata skop utama projek tersebut adalah menaik taraf jalan tunggal lorong dua hala sepanjang 128.46 kilometer (km) dengan piawaian R3 Jabatan Kerja Raya (JKR).
Bagaimanapun menurut beliau, berikutan kekangan kewangan kerajaan, peruntukan yang diluluskan untuk projek itu tidak akan mencukupi untuk membaiki keseluruhan jalan tersebut yang telah mencapai jangka hayat melebih 20 tahun, melebihi standard jangka hayat tujuh tahun jalan-jalan yang ada di negara ini.
“Oleh yang demikian, kita akan menumpukan kepada kawasan yang kritikal seperti KM45 sepanjang 7 km. Jumlah yang diperlukan untuk membaiki laluan itu adalah sebanyak RM15 juta,” katanya kepada pemberita ketika melawat tapak projek tersebut berdekatan persimpangan Jalan Bakun hari ini.
Menurut Nanta, kementeriannya juga telah melaksanakan penyelenggaraan rutin bagi jalan persekutuan itu dengan anggaran peruntukan RM4 juta setahun dan sebanyak RM17.8 juta telah diperuntukkan bagi kerja-kerja penurapan berkala dan bukan penurapan berkala dari 2018 hingga 2023.
Nanta turut berkata beberapa tindakan segera telah diambil oleh konsesi tersebut sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek bagi menangani masalah jalan berlubang iaitu dengan melaksanakan penampalan jalan di bawah kerja-kerja penyelenggaraan rutin.
Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini sebanyak 762 kerja tampalan lubang jalan telah dilaksanakan dan sebanyak tiga Arahan Kerja (AK) berjumlah RM6 juta telah dikeluarkan bagi melaksanakan kerja pembaikan turapan jalan yang rosak teruk berpunca daripada kelemahan struktur penurapan.
Antara punca kerosakan adalah kenderaan lebih muatan yang kerap menggunakan laluan itu dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan bagi mengatasinya.
“Kenderaan berat yang sering membawa muatan lebih ialah lori balak, lori sawit dan baja. Dulu kita buat gantri supaya kenderaan berat tidak membawa muatan lebih tetapi itu pun dilanggar mereka.
“Kita juga membuat penguatkuasaan undang-undang bersama pihak berwajib, namun tindakan yang diambil seolah-olah tiada kesan dan tidak dipedulikan mereka,” katanya.
Nanta berkata untuk tindakan selepas ini, pihaknya akan melakukan lebih banyak penguatkuatkuasaan termasuk memasang papan tanda agar pemandu kenderaan tidak lagi memberikan alasan tidak tahu had muatan mahupun kelajuan di jalan itu.
Beliau merayu kepada pemilik kenderaan berat mematuhi peraturan had muatan agar jangka hayat bagi jalan itu lebih panjang demi keselesaan semua pengguna jalan raya. -Bernama


