KLIA catat peningkatan 10% trafik penumpang pada Julai 2025, kata MAHB

21/08/2025 - 12:44
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 21 Ogos – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan peningkatan 10.3% dalam trafik penumpang antarabangsa pada Julai 2025 dengan 3.9 juta penumpang, berbanding 3.6 juta pada Jun.
Pertumbuhan ini sebahagiannya dipacu oleh inisiatif pengembangan rangkaian strategik, termasuk pelancaran baharu perkhidmatan tiga kali seminggu Loong Air yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Xi’an, meningkatkan lagi akses laluan udara dengan pasaran utama China.
KLIA kini menempatkan beberapa syarikat penerbangan dari China termasuk China Southern Airlines, China Eastern Airlines, Xiamen Airlines, dan Air China, yang kesemuanya mengendalikan penerbangan ke bandar-bandar utama di negara itu seperti Guangzhou, Shanghai, Xiamen, dan Beijing.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, penambahan laluan Xi’an oleh Loong Air terus mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai pintu masuk utama bagi penumpang China yang ingin ke Asia Tenggara dan seterusnya.
“Pertumbuhan strategik dalam keterhubungan dengan bandar-bandar China merupakan pemacu utama bagi pengembangan ekonomi Malaysia secara keseluruhan dan mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan pilihan di Asia Tenggara.
“Laluan udara terus ke bandar-bandar berkembang seperti Xi’an bukan sahaja meningkatkan trafik penumpang tetapi juga memudahkan peluang perdagangan dan pelaburan.
“Ini menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk penting untuk pergerakan China-Asia Tenggara, mempromosikan pertumbuhan mampan dalam sektor penerbangan, pelancongan dan perdagangan, serta mempercepatkan integrasi serantau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seluruh rangkaian lapangan terbang di bawah pengurusan Malaysia Airports merekodkan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 8.9 juta pada Julai 2025 dengan 4.6 juta merupakan penumpang antarabangsa manakala 4.3 juta lagi penumpang domestik.
Selain itu, beliau berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen di Türkiye, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kumpulan, merekodkan pergerakan penumpang sebanyak 4.4 juta dalam tempoh yang sama termasuk 2.3 juta penumpang antarabangsa dan 2.1 juta penumpang domestik.
“Secara keseluruhan, Kumpulan mencatatkan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 13.3 juta bagi bulan Julai, menunjukkan peningkatan 5.7% berbanding Jun 2025.
“MAHB terus menumpukan usaha kepada pengukuhan dan penambahbaikan infrastruktur lapangan terbang, serta penerapan teknologi terkini, bagi menampung pertumbuhan trafik penumpang yang semakin meningkat.
“Inisiatif ini turut bertujuan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan pengalaman pengguna di semua lapangan terbang dalam rangkaian Kumpulan,” katanya.
Langkah berterusan ini selaras dengan aspirasi Malaysia Airports untuk memperkukuh kedudukannya sebagai salah satu hab penerbangan dan logistik paling terhubung dan berdaya saing di rantau Asia-Pasifik, seterusnya menyokong pembangunan sektor penerbangan dan ekonomi digital serantau.- DagangNews.com
standard


