
KUALA LUMPUR, 15 Jun 2026 – Hyundai Motor Malaysia (HMY) hari ini menyemarakkan lagi kehangatan Pameran Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026 dengan mendedahkan pratonton eksklusif model MPV keluarga yang amat dinantikan, The New Hyundai STARGAZER. Mengambil tempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), pengenalan model facelift ini sekali gus membuka tirai tempahan secara rasmi buat pasaran tempatan.
Kehadiran model ini menandakan langkah agresif HMY dalam memperluaskan portfolio kenderaan mereka ke arah pasaran lifestyle-oriented melalui konsep unik yang digelar sebagai ‘WEhicle’ – sebuah jentera yang direka khas mengikut acuan dan keperluan keluarga moden di Malaysia.
Konsep ‘WEhicle’: Mengutamakan Kebajikan “Keluarga”
Menurut Cik Jahabarnisa Haja Mohideen, Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, pengenalan STARGAZER baharu ini bukan sekadar sebuah kenderaan pengangkutan biasa.
“The new Hyundai STARGAZER adalah apa yang kami panggil sebagai ‘WEhicle’. Ia bukan sahaja tentang kereta, malah tentang manusia di dalam dan di sekelilingnya. Kami percaya bahawa elemen ‘WE’ (Kita) dalam ‘WEhicle’ adalah bahagian paling penting. Kerana ‘WE’ itu penting, Hyundai mereka bentuk kereta ini untuk menjadi peneman jalan raya yang pintar dan melindungi keluarga moden di Malaysia,” ulas beliau semasa sesi pengenalan rasmi di reruai Hyundai.
Reka Bentuk Futuristik & Varian SUV-Inspired ‘STARGAZER X’






Dari segi luaran, reka bentuk STARGAZER baharu ini memecah tradisi MPV konvensional menerusi siluet aerodinamik yang slek serta padanan lampu bar LED rekaan ‘H’ penuh yang ikonik pada bahagian belakang.
Bagi memenuhi cita rasa keluarga muda yang mahukan imej lebih ranggi, HMY turut mempamerkan varian STARGAZER X. Varian yang diispirasikan daripada gaya hidup SUV ini tampil dengan pakej kosmetik lebih agresif termasuk bamper rekaan sukan (depan/belakang), spoiler belakang, overfenders, rel bumbung jenis jambatan, serta lencana logo Hyundai berwarna hitam.
Ruang Kabin Praktikal & Teknologi Pintar
Melangkah ke dalam kabin, ketiga-tiga baris tempat duduk STARGAZER dioptimumkan sebagai ruang perlindungan yang selesa. Antara kelengkapan premium dan praktikaliti kelasnya yang disumbangkan termasuklah:
- Sistem Multimedia: Skrin paparan digital sehingga 10.25-inci (bagi varian Prime & X) serta pad pengecas peranti tanpa wayar.
- Keselesaan Penumpang: Varian Prime dan X didatangkan dengan meja lipat di belakang tempat duduk baris pertama (seat-back tables).
- Konfigurasi Tempat Duduk: Varian Style dan Prime menawarkan susunan 7-tempat duduk (lipatan 60:40 pada baris kedua), manakala varian STARGAZER X hadir eksklusif dengan Kerusi Captain 6-tempat duduk (lipatan 50:50).
Nadi Kuasa Smartstream & Keselamatan Premium ADAS
Di bawah hud, kesemua varian STARGAZER digerakkan oleh enjin 1.5-liter Smartstream G1.5 MPI 4-silinder sebaris yang dipadankan bersama transmisi Intelligent Variable Transmission (IVT). Rangkaian kuasa ini berupaya menghasilkan kuasa maksimum 115 ps pada 6,300 rpm dan tork puncak 143.8 Nm pada 4,500 rpm memacu roda hadapan (2WD).
Aspek keselamatan menjadi keutamaan di mana varian Prime dan STARGAZER X dilengkapi dengan pakej keselamatan aktif Hyundai SmartSense ADAS komprehensif yang merangkumi:
- Smart Cruise Control (SCC) dengan fungsi Stop & Go
- Forward Collision-Avoidance Assist (FCA)
- Lane Keep Assist (LKA) & Lane Following Assist (LFA)
- Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA)
- Safe Exit Assist (SEA)
Bagi menawarkan ketenangan minda yang maksimum, kenderaan import sepenuhnya (CBU) ini hadir bersama jaminan atau waranti selama 8-Tahun / 160,000km yang cukup kompetitif di dalam segmennya.
Harga Anggaran & Sesi Pandu Uji di KLIMS 2026
The New Hyundai STARGAZER kini dibuka untuk tempahan dengan tiga pilihan trim utama pada harga anggaran berikut:
- 7-seater Style: RM99,XXX
- 7-seater Prime: RM109,XXX
- 6-seater X: RM121,XXX
Orang ramai serta peminat automotif boleh melihat dengan lebih dekat, mencuba sesi pandu uji (test drive), dan membuat tempahan terus di reruai Hyundai Motor Malaysia sepanjang berlangsungnya KLIMS 2026 di MITEC, Kuala Lumpur dari 11 hingga 21 Jun 2026.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi di www.hyundai.com/my/en.




