Klinik sesak, pesakit tunggu sampai 4 jam

LocalHealth & Fitness
8 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Klinik sesak, pesakit tunggu sampai 4 jam

KLUANG – Kesesakan di Klinik Kesihatan Mengkibol, di sini memaksa pesakit me­nunggu antara tiga hingga empat jam sebelum mendapat rawatan.

Selain lama menunggu, keadaan diburukkan lagi dengan ruang menunggu yang kurang selesa akibat jumlah kehadiran yang terlalu ramai.

Naib Ketua UMNO Bahagian Kluang, Mohd. Khairul Ishak berkata, isu berkenaan sudah berlarutan lebih setahun, namun menjadi semakin serius sejak April lalu apabila Jabatan Pesakit Luar Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom tidak lagi menerima pesakit tanpa janji temu.

Menurutnya, pesakit yang tidak mempunyai janji temu kini diarahkan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau klinik komuniti berhampiran, sekali gus menyebabkan Klinik Kesihatan Mengkibol menerima limpahan pesakit yang jauh melebihi kapasiti.

“Situasi ini menyebabkan ke­sesakan semakin teruk setiap hari tanpa ada penyelesaian yang benar-benar berkesan daripada pihak berkaitan.

“Pembinaan Klinik Kesihatan baharu di bandar Kluang yang bermula pada Mac 2025 dan dijangka siap pada Mac 2029 pula masih terlalu lama untuk dijadikan penyelesaian kepada masalah yang sedang dihadapi rakyat ketika ini,” katanya baru-baru ini.

Jelasnya, tindakan segera perlu diambil bagi mengurangkan beban di klinik berkenaan termasuk menambah bilangan doktor, jururawat serta kakitangan sokongan.

Selain itu, katanya, waktu operasi juga wajar dipanjangkan mengikut keperluan semasa bagi membolehkan lebih ramai pesakit menerima rawatan tanpa perlu menunggu terlalu lama.

Mohd. Khairul turut mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan menyediakan klinik bergerak atau klinik sementara berhampiran Klinik Kesihatan Mengkibol sebagai langkah jangka pendek sehingga klinik baharu siap sepenuhnya.

“Pelan tindakan sementara amat penting bagi memastikan pesakit tidak terus menjadi mang­sa keadaan dan memperoleh akses kepada rawatan yang lebih cepat, selesa dan cekap,” katanya. -KOSMO! ONLINE

The post Klinik sesak, pesakit tunggu sampai 4 jam appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved