KLRA+SD sokong gesaan Ahli Parlimen agar RUU Pembaharuan Bandar 2025 disemak semula

LocalPolitics
22 Aug 2025 • 11:18 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KLRA+SD sokong gesaan Ahli Parlimen agar RUU Pembaharuan Bandar 2025 disemak semula

image is not available

22/08/2025 - 11:18

Wakil KLRA+SD mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Parlimen baru-baru ini Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Persatuan Tindakan Penduduk Kuala Lumpur untuk Pembangunan Lestari (KLRA+SD) menzahirkan sokongan terhadap gesaan sekumpulan Ahli Parlimen supaya bacaan kedua Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar 2025 (RUU URA 2025) ditangguhkan.

Persatuan itu juga menggesa Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan supaya RUU berkenaan dapat dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang berkaitan dan membolehkan kajian lebih menyeluruh serta proses libat urus awam dilaksanakan sebelum sebarang kelulusan diberikan.

“RUU ini mempunyai implikasi besar terhadap struktur sosial dan pembangunan bandar negara. Ia tidak sepatutnya diluluskan secara tergesa-gesa tanpa penelitian rapi dan pandangan menyeluruh daripada pelbagai pihak berkepentingan,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan.

KLRA+SD adalah satu platform yang menghimpunkan 75 persatuan penduduk, enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebuah universiti

Semalam, sekumpulan Ahli Parlimen kerajaan menggesa RUU Pembaharuan Bandar 2025 disemak semula dengan memberi amaran bahawa ambang persetujuan yang ditetapkan bagi projek pembangunan semula boleh mempercepatkan proses gentrifikasi serta memindahkan penyewa berpendapatan rendah dari pusat bandar.

Antara isu yang dibangkitkan termasuklah ambang persetujuan penduduk bagi pembangunan semula kawasan, yang menurut persatuan itu perlu diteliti dengan lebih mendalam.

“Isu tersebut tidak wajar dibandingkan secara mudah dengan negara lain yang mempunyai konteks sosioekonomi dan perundangan berbeza dengan Malaysia.

“Sesuatu dasar awam yang baik mestilah melibatkan penyertaan bermakna secara dua hala antara pembuat dasar dengan rakyat.

“Justeru, kami mengalu-alukan peluang untuk menyumbangkan input, cadangan dasar serta dapatan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berdasarkan pengalaman berdepan dengan pelbagai cubaan pembangunan semula di sekitar Kuala Lumpur,” kata persatuan itu.- DagangNews.com

featured standard