KLSCM 2023 meriah, lebih 15,000 peserta ambil bahagian kategori 10 dan 5km

30 Sep 2023 • 3:01 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Acara larian tahunan terbesar di Malaysia, Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2023, yang melibatkan 15,000 peserta bagi larian sejauh 10km dan 5km, berlangsung dengan meriah awal pagi tadi.

image is not available
Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2023 berlangsung meriah awal pagi tadi membabitkan kategori Boost Juice 10km, 10km Corporate & Leisure Challenge, 5km Fun Run serta Kids Dash 1km & 2km. - Gambar Scoop, 30 September, 2023

Pelepasan larian bermula di Dataran Merdeka pada 6.15 pagi dan seperti tahun-tahun sebelum ini, acara berkenaan bukan sahaja menarik minat penduduk di sekitar Lembah Klang bahkan ia turut meraih perhatian peserta dari negeri-negeri lain.

Salah seorang peserta yang ditemui, Nur Faizura Mohd Tahir, 32, sanggup datang dari Segamat, Johor dan teruja dapat menyertai KLSCM 2023 bersama-sama rakan baiknya, Wan Nur Afiqah Wan Ahmad Rizam, 30.

image is not available
Nur Faizura Mohd Tahir (kanan) dan rakan baiknya, Wan Nur Afiqah Wan Ahmad Rizam teruja dapat menyertai KLSCM 2023 walaupun perlu memandu dari Segamat, Johor. - Gambar Scoop/Juliana Johar, 30 September, 2023

"Saya baharu sahaja sampai dari Segamat semalam dan memang teruja untuk memeriahkan acara larian ini.

"SCM sudah menjadi acara tahunan terbesar di negara kita dan disebabkan itu kami teruja untuk sama-sama rasai hype tersebut.

"Kalau ada kesempatan masa, tahun depan mungkin kami akan sertai lagi," katanya kepada Scoop.

Sementara itu, Amy Sim Yen Fong, 40, dan suami, Tan Choong Seong, 46, tidak kisah memandu jauh dari Ipoh, Perak demi memberi pendedahan kepada dua anak mereka, Ronan Tan Yi Yang, 8, dan Reyna Tan Lerr Xuan terhadap aktiviti sihat dan bermanfaat seperti KLSCM.

image is not available
Amy Sim Yen Fong (kanan) dan suami, Tan Choong Seong, tidak kisah memandu dari Ipoh, Perak demi memberi pendedahan kepada dua anak mereka, Ronan Tan Yi Yang, 8, dan Reyna Tan Lerr Xuan terhadap aktiviti sihat dan bermanfaat seperti KLSCM. - Gambar Scoop, 30 September, 2023

"Hari ini anak-anak sertai kategori Kids Dash 1km dan memang kami sertai untuk kesihatan kerana ingin mendedahkan anak-anak kepada aktiviti bermanfaat seperti larian ini.

"Mereka pun seronok dan mahu menyertainya lagi pada tahun depan!" kata Amy.

Sementara itu, bagi Yan Wai Mun, yang berusia 60 tahun, berlari untuk tujuan kebajikan merupakan faktor kenapa dia menyertai KLSCM 2023. 

Wai Mun yang bertugas di organisasi kebajikan Hospis Malaysia, berkata, dengan berlari dia dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pertubuhan tersebut yang menyediakan 'fund' untuk rawatan penyakit kanser.

image is not available
Warga emas, Yan Wai Mun, 60, menyertai KLSCM 2023 semata-mata untuk tujuan kebajikan. - Gambar Scoop/Juliana Johar, 30 September, 2023

"Saya sertai larian 10km hari ini untuk 'raise fund' Hospis Malaysia dan juga berlari mewakili pesakit-pesakit kanser yang tidak dapat menyertai acara ini.

"Hari ini saya ambil masa 1 jam 16 minit untuk habiskan larian, walaupun ia bukan (rekod) 'personal best' saya tapi dengan menyertai acara-acara larian seperti ini ia dapat meningkatkan keyakinan serta sebagai satu motivasi (hidup sihat) untuk saya," katanya.

image is not available
Gelagat peserta Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2023 yang segak mengenakan kostum Stormtrooper ini juga turut menarik perhatian ramai. - Gambar Scoop, 30 September, 2023

KLSCM yang menerima pengiktirafan Road Race Label oleh badan induk Olahraga Dunia ini telah memasuki edisi ke-15.

Lebih 40,000 penyertaan diterima tahun ini dan acara kemuncak yang bakal diadakan esok menyaksikan larian full marathon (42km) dan half marathon (21km) yang turut disertai peserta dari luar negara.

KLSCM kali ini melibatkan beberapa perubahan dalam usaha menjadikan ia larian mesra alam, antaranya menggalakkan peserta menggunakan botol air yang boleh digunakan semula berbanding penggunaan cawan kertas.

image is not available
Keceriaan jelas terpancar di wajah peserta-peserta cilik Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2023 yang turut sama menyertai kategori Kids Dash 1km & 2km. - Gambar Scoop, 30 September, 2023

KLSCM 2023 menampilkan Penaja Emas iaitu Boost Juice Malaysia di samping beberapa rakan penaja rasmi yang lain seperti Seiko, Brooks, 100PLUS dan TudungPeople.

Selain itu, KLSCM juga memiliki rakan kebajikan rasmi seperti Dignity for Children Foundation (Dignity), Futuremakers by Standard Chartered (Futuremakers), Hospis Malaysia, Kechara Soup Kitchen Society dan Reef Check Malaysia. - 30 September, 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved