BUKIT MERTAJAM - "Elak apa jua tindakan yang boleh menimbulkan kontroversi dan persepsi yang salah."
Itu reaksi Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengenai tindakan pihak tertentu yang menganjurkan majlis berbuka puasa di rumah ibadat bukan Islam.
Menurutnya, ada banyak lagi cara untuk menonjolkan sikap bertoleransi antara orang Islam dan bukan Islam.
"Dari sudut hukum tak salah, malah di Dubai umat Islam berbuka puasa dan mendirikan solat tarawih di kuil Sikh dan tiada ulama di sana yang membantah.
"Cuma dalam konteks Malaysia hari ini melakukan tindakan keagamaan (Islam) di rumah ibadat bukan Islam adalah tindakan kurang bijak dan tidak berhikmah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Justeru beliau menasihati umat Islam supaya mengelakkan tindakan sedemikian dan masyarakat perlu tahu bahawa walaupun perbuatan seperti ini tidak dilarang dalam Islam tetapi bukan kesemua perkara yang harus itu mesti dilakukan.
Katanya, perlu dipertimbangkan penganjuran acara seperti itu mungkin membawa akibat yang merugikan atau membawa kepada situasi yang tidak baik.
"Pokoknya elakkan perbuatan yang boleh mencetuskan keadaan tidak selesa majoriti masyarakat umum walaupun tidak salah di sisi hukum agama," katanya.

