KNM saman bekas pengarah Flavio Porro, Terence Tan sebanyak RM17 juta
azan
12/10/2023 - 15:01
KUALA LUMPUR 12 Okt - KNM Group Berhad dan anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Deutsche KNM GMBH dan Borsig GMBH telah menyaman Flavio Porro dan Terence Tan Koon Ping, selepas kumpulan itu membatalkan pelupusan Borsig kepada Vorsprung Industries GMBH pada Disember 2022.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, KNM berkata, plaintif memfailkan writ saman terhadap kedua-dua mereka, yang merupakan bekas pengarah eksekutif kumpulan itu, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2023.
Plaintif menuntut defendan membayar 3.44 juta euro (RM17.26 juta, berdasarkan kadar penukaran RM5.01 kepada satu euro), atau sebarang jumlah lain yang ditentukan oleh mahkamah, dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah itu.
Sekiranya defendan gagal membayar, plaintif akan mencari aset dan harta mereka untuk dikesan dan dibayar kepada mereka, sebagai ganti daripada jumlah yang diminta pada mulanya.
Mereka juga menuntut ganti rugi am yang akan dinilai, ganti rugi teladan dan kadar faedah selepas penghakiman sebanyak 5% setahun ke atas jumlah yang diberikan oleh mahkamah dari tarikh penghakiman sehingga jumlah itu diselesaikan sepenuhnya.
Porro merupakan sebahagian daripada kumpulan individu yang dicadangkan bagi menggantikan lembaga pengarah semasa, termasuk pemegang saham terbesar syarikat dan pengerusi Tunku Datuk Yaacob Khyra, yang memegang 9.5% pegangan tidak langsung atau 384.2 juta saham yang dipegang melalui Melewar Industrial Group Berhad.
Mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi menggantikan pengarah telah dimohon oleh jutawan Jerman, Andreas Heeschen, yang baru-baru ini meningkatkan pegangannya dalam KNM kepada 8.249%, berikutan pemerolehan 13.6 juta saham lagi atau 0.336% pegangan dalam pasaran terbuka.
"Perkara itu kini ditetapkan untuk pengurusan kes pada 25 Oktober 2023," kata makluman itu. - DagangNews.com



