Kod QR DuitNow Diwajibkan Menjelang Jun 2028 – Satu QR untuk Semua

LocalBusiness & Finance
3 Jul 2026 • 1:42 PM MYT
eCentral
eCentral

Portal rujukan nombor #1 Malaysia. Kini lebih 30 juta capaian sebulan!

Mesti ramai yang pernah mengalami situasi di mana setelah beratur panjang, kod QR di kaunter tersebut rupa-rupanya hanya menerima satu aplikasi e-dompet spesifik yang tidak dimiliki oleh anda. Berita baiknya, masalah sebegini bakal berakhir tidak lama lagi!

Bank Negara Malaysia (BNM) telah menetapkan bahawa semua bank dan e-dompet mesti menghentikan rangkaian pembayaran QR peribadi atau tertutup mereka dalam tempoh dua tahun.

Menjelang 30 Jun 2028, semua bank dan e-dompet diwajibkan untuk menggunakan rangkaian QR yang sama dan saling berhubung melalui infrastruktur PayNet, seperti sistem Kod QR DuitNow.

Arahan rasmi ini telah dikeluarkan di bawah polisi baharu yang dikenali sebagai Rangka Kerja Pemindahan Dana Saling Kendali atau Interoperable Fund Transfer Framework – IFTF.

Kod QR DuitNow Diwajibkan Menjelang Jun 2028

Melalui pelaksanaan dasar baharu ini, Bank Negara Malaysia (BNM) akan menghapuskan semua kod QR eksklusif/tertutup yang berasingan di kaunter pembayaran menjelang 30 Jun 2028.

Sistem tersebut akan digantikan sepenuhnya dengan Kod QR DuitNow yang menyatukan semua jenis aplikasi perbankan dan e-dompet.

Dalam tempoh fasa peralihan ini, institusi kewangan tidak lagi dibenarkan menawarkan rangkaian QR tertutup kepada peniaga baharu.

Apa Yang Akan Berubah?

Meskipun kebanyakan peniaga sudah mula memaparkan kod DuitNow QR, sesetengah premis masih menggunakan kod QR eksklusif mereka sendiri yang bersifat tertutup.

Jadi, di bawah peraturan baharu ini:

  • Bank dan penyedia e-dompet tidak lagi dibenarkan menjalankan rangkaian QR tertutup
  • Penyedia dilarang mendaftarkan peniaga baharu ke dalam mana-mana sistem QR peribadi sepanjang tempoh peralihan dua tahun ini.
  • Pengguna boleh pergi ke mana-mana kedai, membuka apa-apa sahaja aplikasi pilihan, mengimbas kod, dan terus membayar tanpa perlu menyemak jenis e-dompet yang diterima oleh kedai tersebut.

Bila Peraturan Ini Mula Berkuat Kuasa?

Tempoh peralihan ini untuk penggunaan kod QR DuitNow ini adalah selama dua tahun.

Ini bermaksud, pihak bank dan penyedia e-dompet mempunyai masa sehingga 30 Jun 2028 untuk menyelesaikan kemas kini sistem mereka dan memindahkan peniaga mereka ke rangkaian kongsi tersebut.

Rangkaian kongsi itu dikenali sebagai Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata (RPP), yang dikendalikan oleh Payments Network Malaysia (PayNet).

Sepanjang tempoh ini, anda mungkin akan melihat semakin kurang kod QR peribadi di kaunter pembayaran kerana peniaga sedang beralih secara berperingkat ke DuitNow QR.

Jika anda memang sudah biasa membayar menggunakan DuitNow QR melalui aplikasi seperti Touch ‘n Go eWallet atau MAE oleh Maybank, tiada apa-apa yang berubah pun sebenarnya.

kod qr now

Adakah e-Dompet & Kelebihan Ganjarannya Akan Hilang?

Jangan risau, jawapannya tidak.

Bank dan penyedia e-dompet masih boleh menjalankan program ganjaran dan tawaran pulangan tunai (cashback) mereka sendiri.

Aplikasi seperti Touch ‘n Go eWallet dan GrabPay akan mengekalkan fungsi serta ganjaran masing-masing seperti biasa.

Walau bagaimanapun, cara ganjaran diberikan mungkin bergantung pada kod DuitNow QR mana yang pengguna imbas.

Sesetengah e-dompet ketika ini hanya memberikan mata ganjaran atau cashback apabila pengguna mengimbas kod DuitNow QR berjenama mereka sendiri, dan bukannya daripada penyedia lain.

Sila semak terma ganjaran aplikasi masing-masing untuk info lebih terperinci.

Apa Pengguna Perlu Buat?

Pertukaran sistem ini berlaku sepenuhnya di pihak bank dan penyedia e-dompet.

Sebagai pengguna, anda tidak perlu memuat turun aplikasi baharu atau mendaftar semula apa-apa aplikasi.

Jika anda menjalankan perniagaan kecil atau gerai makanan, pihak bank atau penyedia pembayaran akan menghubungi anda secara berperingkat untuk menguruskan proses migrasi kod QR anda ke rangkaian kongsi.

Bagi pengguna, perubahan ini sebenarnya memudahkan urusan harian. Tak perlu lagi simpan banyak aplikasi semata-mata nak bayar di kedai yang berbeza.

Peniaga pun boleh kurangkan kos dan kerumitan kerana hanya perlu menyediakan satu sistem QR yang boleh menerima pembayaran daripada pelbagai bank dan e-dompet.

Maklumat Lanjut & Soalan Lazim

Untuk mendapatkan dokumen penuh dan maklumat rasmi mengenai dasar ini, orang awam dan pemilik perniagaan boleh merujuk terus kepada pengumuman rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) melalui pautan berikut:

Adakah pengguna perlu memuat turun aplikasi baharu selepas pertukaran ini?

Tidak perlu. Pertukaran ini berlaku sepenuhnya pada sistem belakang tabir pihak bank dan penyedia e-dompet. Pengguna boleh terus menggunakan aplikasi sedia ada seperti Touch ‘n Go eWallet, MAE, GrabPay, ShopeePay, atau aplikasi perbankan sedia ada seperti biasa.

Adakah mata ganjaran (points) atau pulangan tunai (cashback) e-dompet akan hilang?

Tidak.

Adakah transaksi menggunakan Kod QR DuitNow ini dikenakan bayaran?

Pindahan wang di bawah RM5,000 kekal percuma bagi akaun bank dan akaun e-dompet individu, sama ada untuk penghantar atau penerima.

Apakah tindakan yang perlu diambil oleh peniaga kecil yang masih menggunakan QR tertutup?

Peniaga tidak perlu melakukan sebarang tindakan buat masa ini. Pihak bank atau penyedia perkhidmatan pembayaran (e-wallet) akan menghubungi peniaga secara berperingkat dalam tempoh peralihan dua tahun ini untuk menguruskan proses migrasi kod QR ke rangkaian kongsi DuitNow QR.

Adakah peniaga boleh mendaftar kod QR peribadi yang baharu sepanjang tempoh peralihan ini?

Tidak boleh. Mulai tarikh polisi ini berkuat kuasa, semua bank dan penyedia e-dompet dilarang sama sekali untuk mendaftarkan mana-mana peniaga baharu ke dalam rangkaian QR peribadi atau tertutup mereka.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved