Kod Sumber Winamp Dibuang Dari GitHub Kerana Tidak Mesra Sumber Terbuka

TechnologyDigital
17 Oct 2024 • 3:24 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Jika membesar di era 90an dan awal 2000 seperti saya dengan sebuah komputer, anda pasti mengenali perisian pemain MP3 pada komputer yang dinamakan Winamp. Ia hadir dengan antaramuka yang bukan sahaja memudahkan pengguna untuk mengatur senarai lagu, tetapi juga untuk menukar tetapan penyamaan audio, dan jika anda rajin, merekacipta sendiri “kulit” perisian ini.

image is not available

Beberapa bulan lalu, kod sumber untuk perisian ini telah dimuat-naik ke platform perisian sumber terbuka GitHub, tetapi baru-baru ini, ia dilihat bahawa repositori Llama Group, pemilik perisian Winamp telah dikosongkan dari platform tersebut.

Menurut beberapa laporan dan juga komen dari pengguna GitHub, perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ini adalah kerana sejak kod sumber tersebut diperkenalkan di GitHub, ia dilihat bahawa Llama Group tidak begitu mesra dengan komuniti sumber terbuka dengan mengeluarkan amaran seperti pembangun tidak dibenarkan untuk menggunakan kod sumber tersebut untuk membangunkan Winamp “baru”, dalam satu proses yang biasanya dinamakan “forking” dalam komuniti sumber terbuka.

Mungkin apa yang lebih menarik ialah kehadiran teknologi yang tidak lagi sepatutnya dimiliki oleh Llama Group, seperti Shoutcast Distributed Network Audio Server atau DNAS yang dibangunkan oleh Nullsoft, pembangun asal perisian Winamp. Ia digunakan sebagai antaramuka untuk menstrim fail MP3 dari mesin pelayan.

image is not available

Oleh kerana Llama Group dilihat telah menjual Nullsoft kepada syarikat yang lain, ia telah dilaporkan juga bahawa secara teknikalnya mereka tidak lagi mempunyai hakmilik terhadap teknologi DNAS yang terkandung didalam perisian tersebut. Bukan itu sahaja, terdapat juga kod-kod sumber dari Intel dan Microsoft yang masih digunakan hari ini.

Keengganan untuk Llama Group membenarkan kod sumber perisian mereka dimanfaatkan secara “percuma” oleh pembangun-pembangun lain, dan mungkin juga isu berkaitan hakmilik teknologi dilihat antara sebab mengapa kod sumber tersebut dipadamkan dari GitHub. Malah, semua hantaran dari akaun rasmi Winamp sudahpun dipadamkan, dan tidak lagi boleh dibaca.

View Original Article