Syarikat Eastman Kodak Company ditubuhkan pada tahun 1892 dengan ia adalah nama yang sangat sinonim dengan fotografi. Jika anda membesar di dekad 70an dan 80an seperti saya, “beli Kodak” ialah terma generik yang digunakan apabila membeli silinder filem di kedai gambar. Perubahan landskap fotografi daripada analog ke digital menyebabkan perniagaan Kodak terjejas. Dalam laporan kewangan suku lalu, Kodak kini mengatakan ia mungkin tidak dapat meneruskan perniagaan dalam masa setahun.
Dalam masa setahun terdapat hutang yang perlu dibayar tetapi syarikat tidak mempunyai pembiayaan atau likuiditi runtuk memenuhi obligasi tersebut sehingga menimbulkan keraguan yang besar Kodak dapat diteruskan.

Tahun ini sahaja syarikat telah mencatatkan kerugian $46 juta dengan hutang sebanyak $500 juta tetapi hanya mempunyai $150 juta tunai dalam tangan. Sungguhpun kedudukan kewangan Kodak agak goyahn. mereka masih yakin dapat membayar sebahagian besar pinjaman sebelum tempoh, dan meminda, melanjutkan atau membiayai semula baki hutang menerusi obligasi saham.
Jika syarikat perlu memfailkan kebankrapan, ia adalah kali kedua selepas kali pertama melakukannya pada tahun 2012. Syarikat dalam keluar daripada kebankarapan pada tahun 2013 selepas menjual beberapa perniagaan, melakukan penstrukturan semula dan menjual lesen menggunakan nama Kodak kepada syarikat lain.
Sekiranya Kodak “gulung filem” selama-lamanya, ia akan meninggalkan legasi selepas 133 tahun beroperasi. Antara yang dicipta Kodak ialah filem yang menggantikan plat untuk mengambil gambar, filem dalam bentuk gelung yang membolehkan gambar diambil berterusan sebelum diganti, mencipta filem untuk menghasilkan wayang gambar dan kamera digital pertama pada tahun 1975.
