Kolaborasi Foodpanda Dan JAKIM Hasilkan ‘Bekal’ Bagi Meyakinkan Pengguna Islam

21 Apr 2023 • 9:40 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dengan gelaran ‘Bekal’, Foodpanda melancarkan satu kaedah penghantaran baharu secara eksklusif khas untuk kategori makanan halal sempena Hari Raya Aidilfitri. - Gambar oleh Azim Rahman

Ketika anda sibuk melayan tetamu dan beraya pada musim perayaan ini, mahukah anda menikmati perkhidmatan penghantar makanan secara eksklusif?

Dengan gelaran ‘Bekal’, Foodpanda melancarkan satu kaedah penghantaran baharu secara eksklusif khas untuk kategori makanan halal sempena Hari Raya Aidilfitri.

image is not available
'Bekal' adalah kolaborasi antara Foodpanda dengan JAKIM. - Gambar oleh Alif Omar

Inisiatif ini adalah hasil daripada kerjasama syarikat penghantar makanan ini dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam usaha memastikan makanan tersebut tidak tercemar dari saat tempahan makanan halal dibuat ke atas peniaga sehinggalah ia dihantar kepada penerimanya.

‘Bekal’ ini menyediakan beg khas penghantaran yang mematuhi piawaian halal dan penunggang turut diberikan latihan khusus mengenai kesedaran halal dan sertu (ritual cleansing) sebelum memulakan tugas.

Langkah ini dijalankan berikutan permintaan yang semakin meningkat di kalangan pengguna Foodpanda terhadap perkhidmatan penghantaran bersijil halal memandangkan majoriti rakyat Malaysia beragama islam.

image is not available
‘Bekal’ ini menyediakan beg khas penghantaran yang mematuhi piawaian halal dan penunggang turut diberikan latihan khusus mengenai kesedaran halal dan sertu (ritual cleansing) sebelum memulakan tugas. - Gambar oleh Azim Rahman

Ketua Pegawai Eksekutif Foodpanda, Sayantan Das berkata strategi untuk mencipta inisiatif ini adalah bagi meningkat serta meyakinkan pelanggan ketika menggunakan perkhidmatan Foodpanda.

“Pensijilan halal ini amat bermakna buat pelanggan untuk mereka mempercayai kami dalam hal mematuhi piawaian kebersihan dan keselamatan makanan yang paling ketat,” kata Das

Menurut Das, sektor makanan halal di Malaysia dianggarkan bernilai RM201.02 billion menjelang 2025. Justeru itu, Foodpanda komited kepada pelanggan Islam bahawa makanan yang dihantar oleh mereka dilengkapi dari pelbagai aspek bagi memastikan ketulenan barangan makanan halal dapat diyakini oleh semua golongan.

"Kami gembira kerana dapat memberikan keselesaan kepada mereka yang boleh memesan dan mengambil makanan mereka dengan tenang dan yakin," tambahnya.

Penghantaran makanan yang menjadi perkhidmatan utama jenama ini dilihat telah membuat satu tindakan yang bijak serta kretif dalam meningkatkan kualiti serta keselamatan untuk kekal relevan dalam jangka masa yang lama. 

Jadi tahniah diucapkan kepada Foodpanda dan semoga perkhidmatan ini terus memberi manfaat kepada masyarakat. Oleh itu, selamat menggunakannya ketika musim perayaan yang pastinya penuh dengan kesibukan masing-masing. - Getaran, 21 April 2023