
JOHOR BAHRU - Pelaksanaan penguatkuasaan kolaborasi strategik antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan Pematuhan Trafik (JSPT) bertujuan memaksimumkan pematuhan piawaian teknikal dan keselamatan kenderaan yang digunakan penunggang motosikal serta pemandu kenderaan ke arah membudayakan pematuhan undang-undang.
Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, kolaborasi strategik yang dilaksanakan melalui inisiatif operasi bersepadu JPJ-JSPT itu juga dilihat sebagai strategi tangkas bagi penerapan rasa bersalah apabila pemilik atau pemandu kenderaan melakukan pelanggaran peraturan khususnya kesalahan pengubahsuaian pelbagai aspek spesifikasi keselamatan teknikal yang tidak dibenarkan.
“Ini termasuklah tingkah laku pemanduan berisiko atau berbahaya yang menjadi punca kepada kemalangan dan kematian pengendali motosikal atau pemandu kenderaan itu sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
“Justeru, JPJ Johor meminta orang awam untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya selain bertoleransi kepada pengguna jalan raya yang lain demi keselamatan diri dan keluarga ketika di jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata demikian sempena Ops Patuh Bersama JSPT di seluruh negeri Johor yang bermula 1 November 2023 lalu.
Azmil berkata, sebanyak 5,531 kenderaan telah diambil tindakan dan 9,996 notis Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) (P) 22 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Ops Patuh bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) setakat 21 November 2023.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, sebanyak 98 kenderaan disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sejak Ops Patuh JPJ/JSPT 1 November lalu.
“Antara kesalahan yang merekodkan statistik kesalahan tertinggi adalah kesalahan tiada lesen memandu sebanyak 2,382 kes manakala kesalahan membabitkan lesen kenderaan motor tamat tempoh 1,826 kes.
“Lain-lain kesalahan melibatkan kesalahan teknikal seperti pengubahsuaian terhadap kenderaan, mempamerkan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, tidak selenggara tayar dengan baik dan lain-lain pula merekodkan sebanyak 854 kes.
“Justeru dimaklumkan, pecahan peratusan kesalahan membabitkan pelesenan pemandu adalah sebanyak 27.12 peratus manakala 35.6 peratus kesalahan di bawah pelesenan kenderaan telah dikesan sepanjang penguatkuasaan dilaksanakan,” katanya.
