
MELAKA – Kemunculan lapisan berwarna biru menyerupai cat serta bau busuk di Kolam Tadahan Air Semabok Perdana, Duyong, di sini, mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlaku pembuangan sisa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, kejadian itu diketahui selepas pihaknya menerima aduan orang ramai menerusi laman sosial Facebook malam tadi.
Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selaku pemilik tapak kemudian dimaklumkan mengenai perkara tersebut kira-kira pukul 8 pagi tadi sebelum pasukan teknikal tiba di lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta mengambil sampel air untuk dianalisis.
“Keputusan sebenar mengenai kandungan di dalam air ini dijangka diketahui dalam tempoh dua hingga tiga hari kerana sampel perlu dihantar ke makmal.
“Dalam masa sama, siasatan akan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada keadaan ini berpunca daripada pembuangan sisa atau tindak balas semula jadi,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Noor Helmy berkata, pemerhatian awal terhadap sampel air berkenaan menunjukkan kemungkinan terdapat bahan yang dibuang ke kawasan tersebut.
Katanya, siasatan kini tertumpu kepada usaha mengesan sumber bahan itu termasuk kemungkinan ia dibuang terus ke dalam kolam atau dilepaskan dari kawasan lain sebelum mengalir masuk. – KOSMO! ONLINE
The post Kolam tadahan bertukar biru, berbau busuk appeared first on Kosmo Digital.
