Kolej TIC Ipoh perkenalkan elemen AI dalam program pengajian perniagaan, IT tepati kehendak pasaran

28/04/2025 - 16:05
Elemen AI bakal diperkenalkan dalam 2 program pengajian di Kolej TIC Ipoh. Oleh Zaki Salleh
IPOH 28 April - Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digital akan diperkenalkan dalam dua program pengajian di Kolej Antarabangsa Taj (TIC) Ipoh bagi menyediakan pelajar dengan kehendak pasaran kerja.
Elemen AI ini diintegrasikan dalam program Diploma Pengurusan Perniagaan Digital dan Diploma Teknologi Maklumat Digital pada sesi baharu nanti.
Pengerusi Eksekutif TIC, Tina Tajuddin berkata, elemen AI menyediakan pelajar dengan kemahiran semasa sejajar dengan penggunaan teknologi tersebut dalam kerjaya masa kini.
Menurut beliau, pengenalan elemen AI dan digital juga hasil maklum balas yang diterima pihaknya termasuk melibatkan institusi pendidikan dan pemain industri.

Tina Tajuddin
“Pendedahan terhadap AI penting bagi membina pengetahuan dalam kalangan pelajar supaya mereka lebih bersedia menggunakan teknologi itu dalam kehidupan dan pekerjaan.
“Ini kerana bidang AI dan digital bukan lagi teknologi baharu, malah generasi muda hari ini merupakan kelompok yang sedang menguasai kemahiran tersebut,” ujarnya kepada DagangNews.
Jelas Tina, selain program tersebut TIC pada tahun ini menawarkan Program Pendidikan (TESL) bagi menyediakan pendidikan dan latihan khusus pada bahasa Inggeris.
Katanya, kursus ini memberi peluang kepada pelajar yang berminat dalam bidang pendidikan khususnya bahasa Inggeris yang akan melahirkan bakal pendidik.


“Pendidikan bahasa Inggeris bukan sahaja untuk melahirkan bakal guru tetapi juga dalam semua bidang pekerjaan sebagai bahasa antarabangsa.
“Pengambilan pertama pada tahun ini menawarkan program diploma dan seterusnya kita merancang untuk pengambilan ijazah pertama,” ujarnya.
Pada tahun ini TIC menyasarkan pengambilan seramai 1,000 pelajar baharu dengan keutamaan kepada anak-anak negeri Perak sejajar dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.
Sasaran pengambilan bukan sahaja kepada pelajar lepasan SPM tahun ini tetapi juga kepada golongan bekerja yang berhasrat meningkatkan kualiti akademik.
Bermula Mei ini, pihak TIC mengadakan sesi jelajah ke seluruh 12 daerah di Perak bagi mempromosikan kemasukan pelajar baharu ke pusat pengajian tersebut. - DagangNews.com
standard
