Semalam, WhatsApp telah mengumumkan kerjasama mereka bersama GIPHY untuk koleksi pelekat terus diintegrasikan di dalam aplikasi pemesejan ini. Ciri baharu ini memudahkan lagi pengguna mencari pelbagai pelekat dan tidak terhad kepada apa yang WhatsApp tawarkan sahaja.

Dalam cubaan saya, lebih banyak pelekat boleh dicari dengan mudah berbanding sebelum ini. Bukan itu sahaja, WhatsApp turut membawakan pencipta pelekat ke peranti Android selepas hampir setengah tahun terhad kepada iOS sahaja. WhatsApp kerap bereksperimen dengan pelekat dengan versi animasi seakan Telegram turut kini sedang diuji. Pencipta pelekat dan koleksi pelekat GIPHY ini sudah pun mula diedarkan kepada semua pengguna.
Disebabkan pencipta pelekat Meta AI masih tidak ditawarkan, koleksi pelekat GIPHY adalah yang terbaik untuk sementara waktu. Anda kini boleh spam kawan-kawan di WhatsApp dengan pelbagai pelekat aneh yang melucukan. Jika yang diminati tiada dalam GIPHY, cipta sahaja yang baru.
