‘Komen berbaur perkauman, sensitiviti agama di media sosial juga boleh diambil tindakan tegas’ – KPN

LocalPolitics
10 Mar 2025 • 4:59 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Individu yang mengeluarkan komen berbaur perkauman atau menyentuh kepada sensitiviti agama di media sosial juga akan dikenakan tindakan tegas.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, polis tidak akan sama sekali berkompromi dalam menangani isu itu dan akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keharmonian negara terpelihara.

“Hentikan segera segala komen atau hantaran yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

“PDRM akan bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang cuba menggugat keharmonian masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dan tidak terpengaruh dengan provokasi yang boleh menjejaskan perpaduan negara.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini, terdapat banyak kenyataan berunsur perkauman yang tular di media sosial, mencetuskan provokasi serta ketegangan dalam kalangan masyarakat.

Beliau menambah, hantaran tersebut telah menimbulkan keresahan, dengan beberapa siri komen balas yang semakin mengeruhkan keadaan.

Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai untuk segera melaporkan sebarang kenyataan berunsur hasutan bagi membolehkan tindakan diambil dengan segera.

Sumber: Astro Awani