Komen Jelik Di TikTok, Penjawat Awam Disiasat Pihak Berkuasa

16 Jul 2024 • 8:01 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Penjawat awam (kiri) yang berdepan soal siasat pihak berkuasa kerana meninggalkan komen jelik di TikTok - Gambar MCMC

KUALA LUMPUR - Seorang penjawat awam berdepan siasatan pihak berkuasa susulan komen jelik di aplikasi TikTok yang mengandungi elemen 3R (Royalty, Race, Religion).

Jurucakap Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, pemuda berusia 29 tahun itu disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah.

Menurut beliau, soal siasat tersebut dilakukan 11 Julai lalu hasil operasi dijalankan oleh MCMC.

"MCMC telah menemukan akaun TikTok yang disiasat pada telefon pintar suspek.

“Kesemua barangan kes yang berkaitan dirampas dan disita untuk siasatan lanjut,” katanya.

Jelas jurucakap itu, MCMC terdahulu menyerahkan Notis Kehadiran pada hari yang sama kepada suspek mengikut prosedur ditetapkan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Orang ramai diingatkan untuk tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk membuat sebarang hantaran dan komunikasi yang bertentangan dengan undang-undang di negara ini, khususnya kandungan melibatkan 3R yang berpotensi menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Tegas beliau, penjawat awam juga diingatkan untuk tidak menggunakan media sosial bagi tujuan menyebarkan mesej yang melanggar undang-undang negara.

“Ia seperti yang terkandung dalam peringatan berkaitan arahan larangan membuat pernyataan awam oleh pegawai awam,” katanya. – Getaran, 16 Julai, 2024