Kompleks baharu Mahkamah Johor Bahru beroperasi penuh 1 Januari 2027

LocalPolitics
29 Sep 2026 • 1:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kompleks baharu Mahkamah Johor Bahru beroperasi penuh 1 Januari 2027

ISKANDAR PUTERI – Kompleks baharu Mahkamah Johor Bahru dijangka beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kompleks yang dibina di atas tanah seluas 6.78 hektar itu diserahkan secara rasmi Jabatan Kerja Raya kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), JPM hari ini.

“Selepas beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2027, pengurusan bangunan menjadi tanggungjawab BHEUU JPM.

“Bangunan mahkamah lama di Jalan Ayer Molek pula akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini hari ini. Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurut Azalina, kompleks mahkamah baharu itu dibangunkan bagi menyediakan kemudahan yang lebih lengkap dan bersesuaian dengan keperluan institusi kehakiman di negeri ini.

Bangunan baharu itu menyediakan 24 bilik bicara terdiri daripada satu Mahkamah Khas, Mahkamah Tinggi (7), Mahkamah Sesyen (8) dan Mahkamah Majistret (8).

Selain itu, terdapat kamar hakim, pejabat pentadbiran dan kewangan, auditorium, perpustakaan, laluan dan ruang tahanan sementara orang kena tuduh (OKT).

Azalina berkata, kompleks tersebut turut dilengkapi surau, tadika, kafeteria dan dewan serbaguna berkapasiti 300 orang.

“Bagi kemudahan parkir, sebanyak 319 lot kenderaan disediakan termasuk untuk orang kurang upaya dan kenderaan elektrik serta 65 lot motosikal,” katanya.

Dalam pada itu, Alexander berkata, projek berkenaan diluluskan Unit Perancang Ekonomi (UPE), JPM pada 2018 dan dilaksanakan secara reka dan bina dengan kos diluluskan sebanyak RM200 juta, manakala nilai kontrak asal RM194.5 juta.

“Projek ini dimulakan pada 8 Februari 2023 dan berjaya disiapkan sepenuhnya dalam tempoh kontrak,” katanya.

Jelasnya, JKR ketika ini melaksanakan sebanyak 11 projek kompleks mahkamah di seluruh negara membabitkan nilai keseluruhan RM736 juta.

Projek itu termasuklah Mahkamah Pengerang, Kompleks Mahkamah Johor Bahru, Kompleks Mahkamah Temerloh, Pahang, Kompleks Mahkamah Baharu Sri Aman, Sarawak dan Kompleks Mahkamah Ipoh, Perak.-KOSMO! ONLINE

The post Kompleks baharu Mahkamah Johor Bahru beroperasi penuh 1 Januari 2027 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved