Kompleks Makan Dinaik Taraf, Penjaja Gembira, Pelanggan Bertambah

18 May 2024 • 8:53 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kompleks Makan Tanglin yang sudah berubah wajah

KUALA LUMPUR – Kompleks Makan Tanglin yang terkenal sebagai lokasi pilihan penggemar ikan bakar dan nasi lemak, kini berubah wajah selepas ia dinaik taraf, hasil inisiatif Perdana Menteri  Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu memperbaiki imej penjaja.

Meski menjadi lokasi popular, namun sebelum ini kalangan peniaga kerap kali mengeluh apabila terpaksa berniaga di lokasi yang keadaannya  agak daif.

Seorang peniaga di situ, Along Din, 41 ruang makan yang terhad dan tidak selesa kerana hanya dipacak khemah menjadi keluhan utama pengunjung dan peniaga.

image is not available
Along Din

Namun katanya situasi itu mula berubah selepas kunjungan Anwar yang datang untuk menjamu selera awal tahun ini.

“Bila Perdana Menteri datang untuk makan tengah hari masa awal tahun ini, masa itulah beliau dengar hasrat peniaga di sini.

“Memang peniaga mahukan perubahan, kalau tengok medan selera ini agak daif dari segi kebersihan, kemudahan pun kurang. Sini juga tak boleh tampung pengunjung yang ramai kerana ruang makan yang terhad,” katanya ketika ditemui Getaran. 

Along berkata, peniaga kini dapat berniaga dengan lebih selesa dan gembira tempat itu dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk susunan gerai yang lebih sistematik.

“Selain turut ditambah baik, ruang makanan jadi lebih besar dan berbumbung. Sebelum ini pengunjung memang mengeluh kerana terpaksa makan dalam keadaan tidak selesa dan panas,” katanya.

Seorang lagi peniaga Roslina Mokhtar, 41, berkata, pelanggannya bertambah sebanyak 30 peratus sejak kompleks itu dinaik taraf.

“Medan selera ini memang ramai pengunjung terutama orang bekerja kerana lokasi kita berhampiran dengan klinik kesihatan dan sekolah.

“Tapi sebelum ini ramai orang bekerja bungkus makanan sahaja kerana  tempat duduk terhad. Sekarang Alhamdullilah, memang pelanggan kita bertambah. Pengunjung  datang pun puji sebab tempat ini bertambah selesa dan bersih,” katanya.

image is not available
Perkarangan Kompleks Makan Tanglin yang bersih, luas dan semakin ceria

Sementara itu, seorang pengunjung, Zamri Ghani, 45, berkata, perubahan dilakukan menjadikan medan selera itu berada dalam keadaan lebih baik kerana meningkatkan keselesaan pengunjung.

“Saya dah lama tak datang sini. Sebelum ini nak datang fikir banyak kali kerana terpaksa bersesak lepas itu dengan keadaan panas.

“Cuma hari ini saya datang sebab teringin nak makan ikan bakar jadi bila datang tu terkejutlah tempat ini dah jadi cantik. Nak makan pun selesa tak panas,” katanya.

Selain di Tanglin, Kompleks Penjaja Medan Selera Tun Sambathan  turut terlibat dalam projek naik taraf  yang merupakan antara usaha kerajaan untuk memperkasa penjaja kecil.

image is not available
Kompleks Penjaja Medan Selera Tun Sambathan

Pengerusi Kompleks Penjaja Medan Selera Tun Sambathan, Siva Kumar Munian berkata, mereka  terima kasih kepada Perdana Menteri atas usahanya menaik taraf bangunan dan menjadikan ia lebih cantik, bersih.

“Kami seramai 30 orang penjaja di sini amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas usahanya untuk menaik taraf kompleks ini.

“Sekarang keadaan kompleks ini lebih bersih, bangunan turut dicat dengan baharu, kemudahan tandas juga dinaik taraf menjadi lebih bersih,” katanya.

image is not available
Siva Kumar Munian

Siva Kumar berkata, pelanggan yang datang ke kompleks itu semakin ramai sejak ia dinaik taraf September lepas.

“Kami juga terharu kerana sejak kompleks beroperasi pada 2015 tidak ada seorang Perdana Menteri pun datang ke sini.

“Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri yang pertama datang ke kompleks ini membuktikan beliau pemimpin berjiwa rakyat,” katanya.

Projek menaik taraf gerai-gerai makan adalah inisitiaf Anwar yang serius mahu membela nasib penjaja kecil di ibu kota.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024, Anwar memperuntukan RM110 bagi membaik pulih dan menaik taraf pusat penjaja dan prasarana pasar awam yang uzur.

Sebelum ini, Anwar berkata, pembangunan sebuah negara tidak dianggap berjaya sekiranya ia sekadar diisi gedung pencakar langit yang gah sebagai legasi. - Getaran, 18 Mei 2024

Foto: Nazir Sufari