
KUNAK: Cadangan untuk mewujudkan sebuah kompleks sukan di daerah ini dilihat akan mengambil masa beberapa tahun sama ada ia dapat dilaksanakan dan disiapkan dalam Rancangan Malaysia Ke13 (RMK13) atau selepas itu.
Exco Pemuda Barisan Nasional, Dato’ Sri Anil Sandhu berkata sebagai kerajaan perpaduan di peringkat nasional, BN menyokong pengumuman yang telah dicadang oleh Menteri Kewangan negeri semasa pembentangan bajet 2025 yang lalu, namun di peringkat daerah, banyak perkara yang perlu dilihat dari beberapa prospek termasuk tapak yang dicadang untuk perlaksanaan kompleks sukan itu masih dimiliki oleh syarikat perladangan SD Guthrie Plantation.
Anil yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Lahad Datu berkata, Kunak berdepan dengan cabaran tertentu termasuk status tanah yang kebanyakan berada berhampiran kawasan bandar/pekan masih dimiliki oleh syarikat ladang kelapa sawit.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Tapak kawasan yang dicadangkan untuk kompleks sukan masih berstatus tanah ladang kelapa sawit. Proses pengambilan tanah misalnya melalui banyak peringkat dan melibatkan banyak pihak berkepentingan yang ini tentunya antara faktor kelewatan yang dijangka,” katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.
Anil berkata, cadangan pembinaan Kompleks Sukan Kunak telah dicadangkan sejak lapan tahun lalu, tetapi ianya belum berjaya direalisasikan disebabkan tapak yang dicadangkan berdepan banyak cabaran.
Gesaan untuk membangunkan sebuah kompleks sukan di daerah ini datang daripada banyak pihak termasuk pemimpin politik masa lalu dan sekarang, NGO, badan-badan sukan yang lain, dan persatuan belia, ujarnya.
“Cadangan kompleks sukan tidak sepatutnya dijadikan bahan politik kempen pilihanraya negeri akan datang oleh parti tertentu di sini.
“Saya difahamkan ada pihak yang sudah mendakwa pembinaan kompleks sukan itu akan dimulakan dalam masa terdekat. Media sosial dijadikan platform untuk tujuan publisiti murahan, sedangkan tapak berkenaan masih lagi tanah pertanian ladang kelapa sawit dibawah pemilikan syarikat.
“Biarlah proses dan garis masa yang menentukan kejayaan perlaksanaannya. Seeloknya apabila sudah ada pecah tanah untuk tujuan itu barulah kita war-warkan kepada orang ramai,” katanya.
