Komputer desktop yang dibangunkan khusus untuk tujuan pembangunan teknologi dan perkhidmatan AI kini bukanlah sesuatu yang baru. Komputer-komputer seperti NVIDIA DGX Spark, Microsoft Surface Laptop Ultra dan Microsoft Surface RTX Spark Dev telah diperkenalkan khusus untuk tujuan tersebut.

Terkini, MSI telah memperkenalkan komputer pembangunan AI mereka tersendiri, dan diantaranya ialah MSI Pro Max Edge AI+ 11M, iaitu sebuah komputer desktop bersaiz kecil yang merumahkan komponen cip pemprosesan yang berkuasa oleh AMD, dan menawarkan sokongan untuk jumlah memori dan storan yang cukup besar sekali, khusus untuk tujuan menggerakkan perkhidmatan AI yang menggunakan model bahasaraya secara kendiri tanpa memerlukan sambungan internet.
MSI Pro Max Edge AI+ 11M ini hadir dengan saiz rangka 4 liter sahaja, tetapi merumahkan komponen cip pemprosesan AMD Ryzen AI Max+ 395 yang turut merumahkan cip pemprosesan grafik AMD Radeon 8060S dengan 126 AI TOPS yang boleh berkongsi memori LPDDR5X sebanyak 128GB, dengan 96GB daripada memori tersebut digunakan sebagai VRAM oleh cip grafik terbina tersebut. Untuk storan pula, komputer ini hadir dengan sokongan untuk memuatkan dua storan PCIe 4.0.

Sebagai sebuah komputer AI, komputer ini boleh digabung melalui sambungan Daisy Chain USB Type-C sebanyak empat PC ini sekaligus untuk tujuan gabungan kemampuan pembelajaran mesin dan juga memproses inferens secara dalaman sekiranya anda mahu menggerakkan model bahasaraya anda sendiri tanpa kekangan token dengan langganan LLM AI komersil.

MSI mengatakan bahawa dengan komponen-komponen ini, MSI Pro Max Edge AI+ 11M boleh digunakan untuk menggerakkan model-model bahasaraya dengan saiz parameter sebesar 120 bilion secara luar-talian tanpa masalah. Ia sangat sesuai sekiranya anda berada dalam sektor pembangunan teknologi AI, analisa data besar dan menggerakkan perkhidmatan AI dalaman anda sendiri.
MSI Malaysia mengatakan bahawa komputer AI MSI Pro Max Edge AI+ 11M ini akan memasuki pasaran Malaysia untuk kegunaan pembangun-pembangun teknologi dan perkhimatan AI tidak lama lagi.


