Pada tahun 2019, Google mengumumkan keunggulan kuantum (quantum supremacy) yang dicapai oleh komputer quantum yang dilengkapi cip Sycamore. Ia dicapai selepas Sycamore memproses masalah yang memerlukan superkomputer IBM Summit 10,000 tahun untuk diselesaikan dalam masa hanya 200 saat. Hari ini Google mengumumkan cip kuantum Willow mereka kini sekali lagi menunjukkan keupayaan pemproses lebih pantas berbanding superkomputer tradisional

Dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature, Willow menjalankan algoritma korelasi masa luar aturan (OTOC) yang diberi nama Quantum Echoes. Quantum Echoes berguna bagi memahami struktur sistem alam semula jadi seperti molekul, magnet dan lubang hitam. Algoritma ini telah berjaya dijalankan 13,000 kali lebih pantas pada Willow daripada algoritma klasik terbaik pada superkomputer terpantas di dunia. Menerusi algoritma Quantum Echoes, saintis boleh mengukur struktur molekul yang kemudiannya memacu penghasilan ubat-ubatan atau mengenalpasti bahan baharu di masa hadapan.
Ini merupakan kali pertama dalam sejarah komputer kuantum berjaya menjalankan algoritma yang boleh disahkan mengatasi keupayaan superkomputer. Pengesahan kuantum bermakna keputusan boleh diulang pada komputer kuantum Google atau mana-mana yang lain dengan kaliber yang sama bagi mendapatkan jawapan yang sama sekaligus mengesahkan keputusan. Kejayaan Willow menggerakkan komputer kuantum setapak lebih dekat untuk menjadi alat aplikasi praktikal.
