Komuniti OKU pekak diberi pendedahan manfaat mySalam, urus kewangan

LocalPersonal Finance
23 Aug 2026 • 4:39 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Komuniti OKU pekak diberi pendedahan manfaat mySalam, urus kewangan

SUNGAI PETANI – Golongan orang kurang upaya (OKU) khususnya komuniti pekak diberi pendedahan mengenai skim perlindungan kesihatan mySalam bagi memastikan individu yang layak tidak tercicir daripada menerima manfaat kerajaan.

Mereka yang menyertai program Sinergi Celik Kewangan Warga Pekak 4.0 Peringkat Zon Utara di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), di sini turut didedahkan mengenai kepentingan mengurus kewangan menerusi program Bijak Wang.

Ketua Skim mySalam yang diuruskan oleh Great Eastern Takaful Berhad, Syuhaib Ithnin berkata, inisiatif yang dianjurkan dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Persatuan Orang Pekak itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa pengetahuan kewangan dalam kalangan masyarakat, termasuk golongan OKU.

Katanya, menerusi program itu, peserta diberi penerangan berkaitan pengurusan kewangan, kepentingan membuat perancangan kewangan serta langkah yang perlu diambil bagi memastikan simpanan dan pendapatan diurus dengan baik.

“Pendekatan secara bersemuka ini penting bagi memastikan maklumat berkaitan manfaat kerajaan dan pendidikan kewangan dapat disampaikan dengan lebih mudah, jelas serta bersesuaian dengan keperluan komuniti pekak.

“MySalam turut menekankan bahawa golongan OKU yang memenuhi syarat kelayakan perlu mengetahui hak dan manfaat yang tersedia supaya mereka dapat membuat tuntutan sekiranya berlaku keadaan yang dilindungi di bawah skim berkenaan.

“Usaha mendekati komuniti ini juga membuktikan komitmen mySalam untuk memastikan penyampaian maklumat tidak hanya tertumpu kepada masyarakat umum, sebaliknya turut merangkumi golongan yang memerlukan pendekatan komunikasi khusus,” katanya.

Image from: Komuniti OKU pekak diberi pendedahan manfaat mySalam, urus kewangan
ROZLIANA

Pada masa sama, Syuhaib berkata, program Bijak Wang menjadi ruang untuk meningkatkan kesedaran peserta supaya lebih berhati-hati ketika berurusan secara dalam talian, selain tidak mudah terpedaya dengan tawaran kewangan yang mencurigakan.

“Peserta turut diberi pendedahan mengenai kepentingan melindungi maklumat peribadi dan kewangan serta mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi atau berkongsi maklumat dengan pihak yang tidak dikenali,” ujarnya.

Katanya, kerjasama antara mySalam dan KWSP itu diharap dapat memberi manfaat berpanjangan kepada komuniti OKU pekak, bukan sahaja dari aspek pengetahuan mengenai perlindungan kesihatan, malah dalam membina pengurusan kewangan yang lebih kukuh.

“Pendekatan turun padang seperti ini akan terus diperkasakan bagi memastikan golongan yang layak mendapat manfaat kerajaan benar-benar memahami kemudahan yang disediakan.

“Ia sekali gus mengelakkan mereka tercicir daripada perlindungan dan pengetahuan yang boleh membantu meningkatkan kesejahteraan hidup,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, sehingga 31 Julai lalu, lebih dua juta penerima telah menerima manfaat mySalam dengan jumlah bayaran tuntutan melebihi RM1.51 bilion.

Mengulas mengenai program Sinergi Celik Kewangan Warga Pekak 4.0, Syuhaib berkata, antara keunikan program tersebut ialah pihaknya menempatkan jurubahasa isyarat di 20 reruai bagi memudahkan komunikasi dan penyampaian penerangan.

“Jurubahasa isyarat ini disediakan Persatuan Orang Pekak Perak bagi membantu memberi penerangan kepada peserta yang mengikuti program tersebut.

“Ramai yang masih tidak mengetahui mengenai faedah mySalam dan kita bawakan jurubahasa isyarat berkenaan bagi memudahkan komunikasi serta memberi penerangan kepada mereka,” katanya.

Seorang peserta dari Perak, Rozliana Mat Ali, 46, berkata, program itu sangat membantu mereka mendapatkan maklumat berkaitan skim mySalam yang mempunyai banyak manfaat. – KOSMO! ONLINE

The post Komuniti OKU pekak diberi pendedahan manfaat mySalam, urus kewangan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved