IPOH – Kerajaan Perak memantau rapi kehadiran komuniti Rohingya di beberapa kawasan di negeri ini termasuk di Manjung susulan kebimbangan yang disuarakan penduduk tempatan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebahagian besar individu dalam komuniti berkenaan dikenal pasti memakai lencana Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Bagaimanapun katanya, kesahihan status komuniti berkenaan secara keseluruhan masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.
“Di Manjung, kebanyakannya memakai lencana UNHCR. Kita pun tak pasti keaslian dia sebab bilangan terlalu ramai, tetapi perkara ini dalam pemantauan kita.
“Kita juga mengambil maklum perkara itu menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta keluh-kesah dalam kalangan orang tempatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Bulan Falak Peringkat Negeri Perak bagi Tahun 1448H/2026M di sini pada Khamis.
Saarani berkata, peningkatan jumlah komuniti berkenaan boleh memberi implikasi tertentu termasuk dari sudut keselamatan sekiranya tidak dipantau dengan baik.
Dalam hal itu jelas beliau, pemantauan oleh pihak berkuasa telah dilaksanakan dan perkara tersebut kini berada dalam radar agensi berkaitan.
“Saya dimaklumkan ada yang telah membina rumah walaupun tidak kukuh dan ada juga sekolah. Jadi kita kena lihat dalam banyak aspek termasuk keselamatan penduduk tempatan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan, berdasarkan statistik UNHCR setakat April lalu, terdapat 219,472 pemegang kad pelarian di Malaysia dengan 128,200 daripadanya merupakan etnik Rohingya.
