
MELAKA - Kejadian seorang penunggang maut dan dua cedera selepas motosikal ditunggangi mereka terhumban ke dalam lubang pembinaan di Jalan Bukit Katil di sini, pada Khamis dipercayai berpunca daripada orang awam mengalihkan kon keselamatan.
Kejadian lebih kurang jam 6.30 pagi, menyebabkan mangsa Haiqal Iman Mohd Shahruddin Abdul Qayyum, 20, yang bekerja di sebuah kedai serbaneka Bukit Beruang meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa dari arah lampu isyarat Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Katil menghala ke lampu isyarat Hospital Pantai.
**media[2486016]**
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian mereka telah masuk ke laluan yang telah ditutup dan dilencongkan dengan menggunakan kon oleh sebuah syarikat kontraktor yang dipercayai telah dibuka oleh orang awam.
Katanya, situasi itu menyebabkan kesemua mangsa yang tidak nampak kerja-kerja pembaikan di lokasi kemalangan terbabas masuk ke dalam lubang terbabit.
"Mayat mangsa yang meninggal dunia telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka manakala dua lagi mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Tambahnya, siasatan lanjut pegawai penyiasat mendapati permukaan jalan ketika nahas berlaku adalah basah dan terdapat pencahayaan.
"Sehingga kini belum ada saksi bebas tampil memberikan keterangan lanjut dan siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang penunggang motosikal lelaki maut dan dua cedera selepas motosikal ditunggangi mereka terbabas ke dalam parit.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, PBK II Riduan Ahmad berkata, sepasukan pegawai serta anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
"Setiba di lokasi, kita mendapati tiga penunggang motosikal telah terbabas ke dalam parit yang dalam proses pembinaan," katanya.
