Konflik Asia Barat dijangka beri kesan kepada eksport komoditi negara

10 Mar 2026 • 1:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Noraini (tengah) bersama para pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Al Iman di Kampung Buloh Poh, Kota Bharu pada Selasa.

KOTA BHARU – Konflik di Asia Barat dijangka memberi kesan kepada eksport komoditi negara jika ia berlarutan sehingga hujung suku kedua tahun ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, walaupun kesan besar terhadap eksport negara masih belum dirasai ketika ini, situasi peperangan di rantau itu tetap memberi cabaran kepada pengeksport tempatan.

Menurut beliau, Malaysia banyak mengeksport produk komoditi ke pasaran Asia Barat termasuk produk berasaskan kayu seperti perabot serta minyak sawit.

"Jika dilihat kepada barangan yang kita eksport seperti perabot dan produk kayu, memang ada sedikit peningkatan kos dari segi logistik.

"Selain itu, kos insurans juga meningkat kerana penghantaran perlu melalui kawasan yang terjejas akibat konflik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Maahad Tahfiz Al-Quran Al Iman Kampung Buloh Poh di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kesan konflik Asia Barat terhadap perdagangan komoditi negara.

Menurut Noraini, antara laluan perdagangan penting yang terkesan ialah Selat Hormuz yang merupakan laluan strategik bagi penghantaran barangan ke rantau tersebut.

Ujar beliau, jika laluan itu masih ditutup atau berdepan risiko keselamatan, ia akan memberi kesan kepada kos penghantaran serta perlindungan insurans.

"Apabila kapal melalui kawasan yang berisiko konflik, insurans perlu dipertingkatkan dan ini menyebabkan kos logistik meningkat.

"Itulah cabaran yang perlu dilalui oleh pengeksport komoditi Malaysia ketika ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap konflik yang berlaku di Asia Barat dapat diselesaikan segera bagi memastikan kelancaran perdagangan global.

"Sudah tentu kita berharap peperangan ini dapat ditamatkan secepat mungkin kerana sedikit sebanyak ia menjejaskan eksport komoditi negara termasuk minyak sawit," katanya.