- Hezbollah gesa Lubnan batal rundingan dengan Israel
Ketua Hezbollah, Naim Qassem pada Isnin menggesa Lubnan membatalkan pertemuan yang dirancang dengan Israel di Washington, sambil menegaskan penolakan kumpulannya terhadap rundingan secara langsung dengan Israel.
“Kami menyeru satu pendirian bersejarah dan berani dengan membatalkan pertemuan rundingan ini,” kata Qassem dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.
Kumpulan yang disokong Iran itu telah berperang dengan Israel sejak 2 Mac.
Duta Lubnan dan Israel ke Amerika Syarikat (AS) dijadualkan bertemu pada Selasa.
- Prospek mencabar bagi pasaran tenaga
April dijangka menjadi bulan yang lebih mencabar berbanding Mac bagi pasaran tenaga dan ekonomi global, kata Ketua Agensi Tenaga Antarabangsa.
Fatih Birol berkata, pada Mac, penghantaran kargo melibatkan muatan sebelum krisis Asia Barat, namun sepanjang April, tiada penghantaran baharu dilakukan.
“Semakin lama gangguan berterusan, semakin serius masalah yang akan timbul,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat di Tabung Kewangan Antarabangsa di Washington.
- Trump dakwa kapal melalui Selat Hormuz
Presiden AS, Donald Trump berkata, sebanyak 34 kapal telah melalui Selat Hormuz, namun angka itu tidak dapat disahkan serta-merta.
“Sebanyak 34 kapal melalui Selat Hormuz semalam, jumlah tertinggi sejak penutupan bodoh ini bermula,” katanya dalam hantaran di Truth Social pada Isnin.
- Tiada permohonan maaf daripada Trump
Trump berkata beliau “tiada apa untuk dimohon maaf” selepas mengkritik seruan Pope Leo XIV agar konflik di Asia Barat ditamatkan.
“Pope Leo berkata perkara yang salah. Beliau menentang tindakan saya terhadap Iran, dan kita tidak boleh membenarkan Iran memiliki senjata nuklear,” kata Trump.
Beliau turut menyifatkan pope kelahiran Amerika itu sebagai sangat lemah dalam isu jenayah dan perkara lain.
Sementara itu, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni mengecam kritikan Trump terhadap Leo sebagai tidak boleh diterima.
- Trump: Iran mahu capai perjanjian
Trump berkata, wakil Iran telah menghubungi pihaknya untuk mencapai perjanjian damai selepas rundingan di Pakistan hujung minggu lalu berakhir tanpa persetujuan.
“Saya boleh beritahu bahawa pihak sana telah menghubungi kami. Mereka sangat mahu membuat perjanjian,” katanya kepada wartawan di luar Pejabat Oval, tanpa menyatakan pihak yang terlibat.
- Israel serang 150 sasaran Hezbollah
Tentera Israel pada Isnin memaklumkan bahawa kira-kira 150 sasaran Hezbollah di Lubnan telah diserang dalam tempoh 24 jam lalu, ketika negara itu bersedia untuk rundingan damai dengan pegawai Lubnan di Washington.
“Sasaran termasuk struktur ketenteraan, lokasi pelancaran peluru berpandu anti-kereta kebal dan pusat arahan,” menurut kenyataan tentera.
- AS akan musnahkan ‘kapal serangan’ Iran
Trump berkata, tentera AS akan memusnahkan mana-mana bot serangan pantas Iran yang menghampiri sekatan laut terhadap pelabuhan Iran yang bermula Isnin.
“Amaran: Jika mana-mana kapal ini menghampiri sekatan kami, ia akan dimusnahkan serta-merta,” katanya di Truth Social.
Beliau turut mendakwa baki armada laut Iran telah “dimusnahkan sepenuhnya.”
- Sekatan laut bermula
Tempoh akhir yang ditetapkan Trump untuk melaksanakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran telah tamat.
Tentera AS mengumumkan sekatan ke atas semua pelabuhan Iran di Teluk bermula Isnin jam 10 malam waktu Malaysia, namun kapal yang tidak menuju ke atau dari Iran masih dibenarkan melalui selat tersebut.
- Pakistan: Gencatan senjata masih bertahan
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berkata gencatan senjata antara AS dan Iran masih “bertahan”, walaupun rundingan hujung minggu lalu gagal mencapai persetujuan.
“Gencatan senjata masih bertahan dan usaha sedang giat dijalankan untuk menyelesaikan isu tertunggak,” katanya dalam mesyuarat kabinet yang disiarkan secara ringkas. - AFP
