
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Konflik Asia Barat yang sedang berlaku pada ketika ini sememangnya memberi kesan kepada negara di seluruh dunia.
Apatah lagi Iran hanya membenarkan Selat Hormuz yang disekat sejak awal Mac hanya boleh dilalui oleh kapal bukan musuh dengan syarat mereka tidak terlibat dengan menyertai atau menyokong tindakan pencerobohan terhadap negara itu.
Malaysia antara negara yang dibenarkan namun timbul khabar angin yang mendakwa Malaysia perlu membayar tol untuk melalui selat berkenaan.
Malah, sebelum ini, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen telah meminta Kerajaan menjelaskan adakah benar dakwaan yang dibuat oleh media antarabangsa bahawa tentera Iran mewujudkan pusat pungutan tol di selat itu dengan mengenakan bayaran sehingga AS$2 juta atau RM8.04 juta.
Kapal Malaysia Dibenarkan Lalu Selat Hormuz Tanpa Tol
Terbaharu, Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi mengesahkan kapal milik Malaysia dibenarkan melalui Selat Hormuz tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Malah, Iran memberi jaminan bahawa laluan eksport minyak paling penting di dunia itu adalah selamat walaupun sedang berlakunya ketegangan serantau.
Jelas Valiollah, Tehran telah dimaklumkan mengenai tujuh kapal negara ini yang berada di Teluk Parsi dan berhasrat untuk menggunakan laluan strategik berkenaan.
Malah, pihaknya tidak menghalang kapal negara sahabat termasuk Malaysia menggunakan laluan itu serta memberi jaminan ia boleh digunakan tanpa sebarang tol.
“Kami menerima maklumat daripada Menteri Luar Malaysia (Datuk Seri Mohamad Hasan) bahawa beberapa kapal Malaysia berada di Teluk Parsi dan ingin melaluinya.
“Kami telah mempertimbangkan perkara ini, dan Insya-ALLAH, mereka akan lalu. Ia tidak menjadi masalah kerana Malaysia adalah negara sahabat, dan negara sahabat boleh menggunakan selat itu,” jelasnya.
Malah, beliau menegaskan sekali lagi, bahawa kapal dari Malaysia bebas melalui selat berkenaan tanpa perlu membuat bayaran.
“Sudah tentu (kapal Malaysia bebas lalu). Kami tidak akan mengenakan bayaran,” ujarnya.
Selat Hormuz Tidak Ditutup Sepenuhnya
Pada masa yang sama, Valiollah menegaskan Selat Hormuz tidak ditutup sepenuhnya.
Namun, ia hanya dikenakan sekatan terpilih terhadap negara yang terlibat atau menyokong serangan terhadap Iran.
Walau bagaimanapun, laluan berkenaan dibenarkan untuk negara-negara sahabat tertakluk kepada penyelarasan dengan pihak berkuasa.
Sebelum ini, Mohamad Hasan atau terkenal dengan panggilan Tok Mat memaklumkan tujuh kapal tangki Malaysia sedang menunggu kebenaran dan tempoh laluan selamat untuk meneruskan perjalanan.
Tiga daripada tujuh kapal berkenaan adalah milik Petronas, dua merupakan milik MISC Bhd manakala selebihnya adalah milik Sapura Energy dan Shapadu Corporation Sdn Bhd.
Jelas beliau, kesemua kapal itu tidak ditahan sebaliknya sedang menunggu waktu yang selamat dan isyarat rasmi sebelum meneruskan perjalanan.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian kerana memberi keputusan awal membenarkan kapal minyak Malaysia melalui Selat Hormuz.
Baca Artikel Berkaitan: AS & Israel Serang Iran, Ini Apa Yang Kita Perlu Tahu
Baca Artikel Berkaitan: Anwar Ibrahim Kecam Pembunuhan Khamenei, Sifatkan Asia Barat Di Ambang Krisis Besar

