NILAI - Kerajaan akan memastikan projek pembangunan yang sedang berjalan dapat diteruskan dan disiapkan walaupun berdepan kenaikan kos susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sememangnya sejak awal lagi sudah dinyatakan konflik yang berlaku boleh memberi kesan kepada negara terutama gangguan sumber tenaga yang turut berlaku di seluruh dunia.
"Sebab itu bila dah berlaku krisis tenaga di peringkat global, mana-mana produk ataupun servis yang ada inputnya daripada sumber tenaga, sudah pasti ada kesannya.
"Di peringkat kita adalah meneliti kalau ada perkara intervensi yang masih boleh dilakukan dalam skop yang ada bagi membolehkan perkara (projek sedang berjalan) itu dapat diselesaikan ataupun dapat diteruskan," katanya ditemui pemberita selepas melawat tapak projek Malaysia Vision Valley (MVV) yang melibatkan pembinaan jalan baharu dari Nilai-Labu ke Bandar Enstek di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas peningkatan kos projek pembangunan yang terpaksa ditanggung kerajaan susulan konflik di Asia Barat.
Menurutnya lagi, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan projek bagi mengenal pasti perkara yang menjadi cabaran sebelum ini dapat diselesaikan segera.
Jelasnya, cabaran terbabit antaranya soal kelulusan projek, utiliti, prosedur operasi standard (SOP) serta aspek kelangsungan projek bagi memastikan ia dapat disiapkan seperti dirancang.
"Penumpuan yang kita tekankan kepada semua agensi pelaksana adalah memastikan apa ruang yang kita boleh bantu supaya setiap projek yang sedang berjalan dapat diselesaikan juga.
"Sementara kerajaan cuba menampung, kalau diumumkan soal subsidi petrol itu sudah mencecah RM4.7 bilion sebulan, tapi juga ruang lain kita kena pastikan juga tidak terganggu atau tergendala sementara kos-kos ini akan menjadi cabaran kepada semua pihak," katanya
Berkenaan peningkatan kos yang perlu ditanggung, Akmal Nasrullah berkata, ia bergantung kepada input dan industri yang terkesan.
"Setakat ini angka rasmi yang dikeluarkan oleh Bank Negara adalah berdasarkan keseluruhan, namun kita akan melihat perkembangan dari semasa ke semasa.
"Kita merasakan paling cepat konflik ini enam bulan, kalau tidak, kesannya mungkin sampai menjangkau setahun.
"Maka sebab itu perancangan dan penyusunan itu kena juga melihat soal jangka sederhana," katanya.


