Konflik Asia Barat: Kerajaan digesa bersedia hadapi 'tiga kejutan serentak' - Howard

LocalPolitics
8 Apr 2026 • 3:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
HOWARD

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengambil langkah awal bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kesan ‘tiga kejutan serentak’ susulan ketegangan konflik Asia Barat ketika ini.

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How berkata, tiga krisis melibatkan tenaga, baja dan helium itu berpotensi berlaku sekiranya situasi konflik terus memuncak, termasuk kemungkinan penutupan Selat Hormuz dalam tempoh lebih lama.

Ujar beliau, meskipun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan mengenai gencatan senjata selama dua minggu dilaporkan telah dicapai, krisis berkenaan berpotensi berlarutan dan menjadi lebih buruk.

“Minyak adalah titik tekanan paling ketara. Namun, baja merupakan asas kepada pengeluaran makanan, manakala helium pula kritikal untuk sektor kesihatan dan industri berteknologi tinggi.

“Jika rantaian bekalan ini terganggu dalam tempoh yang panjang, kesannya tidak akan terhenti pada harga petrol semata-mata.

“Ia akan merebak kepada harga makanan, hasil pertanian, logistik, hospital, elektronik, gentian optik, semikonduktor dan sektor pembuatan,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Menurut Howard, kerajaan perlu mendapatkan kelulusan Parlimen bagi menyediakan peruntukan strategik bersasar untuk melindungi rakyat, perniagaan dan pekerjaan daripada kesan berantai berkenaan.

Kata ahli Parlimen DAP itu, peruntukan tersebut pula mesti disertakan dengan bantuan, insentif dan subsidi khusus serta berasaskan hasil.

“Kita perlu menyokong hasil yang memastikan ekonomi terus berfungsi termasuk makanan dihasilkan, barangan dihantar, pesakit dirawat, pekerjaan dikekalkan, eksport diteruskan dan perkhidmatan asas dipelihara.

“Sektor strategik dan industri penting mesti terus beroperasi. Ia termasuk pengeluaran makanan dan input pertanian, logistik dan pengangkutan, pengangkutan awam, penjagaan kesihatan dan rantaian bekalan perubatan.

“Selain itu, utiliti dan tenaga, pelabuhan dan perkapalan, infrastruktur digital dan telekomunikasi serta pembuatan strategik seperti semikonduktor, elektrik dan elektronik serta industri eksport utama lain,” ujarnya.

Ujarnya, Parlimen juga perlu diberikan gambaran penuh dan telus tentang tahap pendedahan negara, termasuk bekalan bahan api dan gas asli cecair, baja dan bahan mentahnya, makanan ternakan, import makanan, helium, bekalan perubatan, laluan perkapalan serta bahan industri.

“Kita memerlukan kejelasan tentang rizab, kelemahan, alternatif dan titik pencetus untuk tindakan.

“Malaysia tidak boleh mengurus krisis ini secara reaktif berdasarkan tajuk berita semata-mata.

“Jika dunia bergerak daripada kejutan tenaga kepada kejutan baja dan seterusnya helium, maka respons kita mesti bersedia sebelum kesannya dirasai secara meluas,” kata beliau.