Konflik Asia Barat: Pemain industri pelancongan Sabah masih aktif, pilih negara tak terkesan

LocalTravel
7 Apr 2026 • 2:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Azlan (tiga dari kanan) menunjukkan poster MATTA Fair Sabah yang akan berlangsung bermula 17 April ini di SICC, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Konflik yang melanda Asia Barat bukan alasan untuk orang ramai menangguhkan hasrat melancong, sebaliknya industri pelancongan di Sabah kekal aktif dengan pelbagai pilihan destinasi yang tidak terjejas.

Pengerusi Penganjur Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Fair Sabah, Mohd Azlan Abd Salam berkata, orang ramai masih boleh merancang perjalanan dengan memilih laluan serta negara yang lebih selamat.

“Mengenai konflik di Timur Tengah, saya rasa itu bukan faktor untuk tidak melancong.

“Masih ada laluan yang kita boleh ikut dan kita harap media juga boleh memberitahu masyarakat bahawa kita tidak terlalu terkesan dan pelancongan masih aktif,” katanya dalam sidang akhbar sempena penganjuran MATTA Fair di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Selasa.

Menurutnya, setakat ini tidak berlaku pembatalan besar pakej pelancongan melibatkan pengguna di Sabah meskipun berdepan situasi global yang tidak menentu.

“Setakat ini ada satu atau dua pembatalan, tetapi kebanyakannya ditangguhkan. Namun, belum ada pembatalan besar-besaran. Untuk pakej umrah dari Sabah pun kita sudah berbincang dengan persatuan, semuanya masih dalam kawalan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya sedikit kenaikan kos perjalanan susulan peningkatan harga bahan api di peringkat global, namun ia tidak memberi kesan menyeluruh kepada pakej pelancongan.

“Mungkin ada kesan kerana harga minyak sekarang sedang naik. Mungkin ada tambahan surcaj bahan api sekitar lima peratus.

“Tetapi kenaikan itu tidak dikenakan kepada keseluruhan pakej, hanya melibatkan pengangkutan sahaja. Jika menggunakan bas, cuma ada sedikit tambahan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak penganjur telah mengambil langkah awal bagi mengawal harga yang ditawarkan oleh pempamer demi melindungi kepentingan pengguna.

“Kita sudah berbincang dengan pempamer supaya menetapkan harga dan memaklumkan lebih awal jika ada kenaikan saat akhir.

“Contohnya pakej umrah, hanya melibatkan kenaikan surcaj bahan api, tetapi harga bilik tidak terkesan. Kita minta pembeli bijak memilih, jika kenaikan tidak logik, perkara itu perlu diteliti,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata, tumpuan pasaran ketika ini lebih terarah kepada negara yang dilihat selamat, khususnya di rantau Asia.

“Untuk pasaran, kita fokus negara ASEAN terlebih dahulu kerana lebih selamat seperti Jepun, China, Filipina, Thailand dan Vietnam,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pihaknya menyasarkan kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran MATTA Fair bermula 17 April ini.

“Kita sasarkan kira-kira 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran MATTA Fair yang akan berlangsung di SICC nanti,” katanya.

Selain itu, beliau menyasarkan jumlah nilai perniagaan sebanyak RM30 juta bagi penganjuran kali ini, berbanding RM28 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.

“Terdapat 167 reruai akan menyertai MATTA Fair kali ini yang akan mempamerkan produk pelancongan ke luar negara dan 55 daripadanya adalah pemain industri tempatan selain turut disertai syarikat penerbangan.

“Angka penyertaan tersebut juga melepasi unjuran awal iaitu sebanyak 150 reruai dan kita lihat sambutan positif ini mencerminkan keyakinan tinggi industri serta peningkatan permintaan dalam segmen pelancongan antarabangsa dan domestik,” katanya.