Konflik Asia Barat: Selangor adakan mesyuarat khas selaras bantuan rakyat, industri - Amirudin

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 7:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Amirudin

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan mengadakan satu mesyuarat khas pada Jumaat ini bagi menyelaras pendekatan terbaik membantu rakyat secara menyeluruh dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat serta kesannya terhadap ekonomi negeri.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, mesyuarat itu akan memberi fokus khusus kepada golongan rentan, selain memastikan sokongan yang efektif kepada sektor industri.

Menurut beliau, langkah itu turut melibatkan penubuhan pasukan petugas khas serta pelaksanaan mesyuarat berkala bagi memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.

"Dengan perang antara Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran masih berterusan, pagi ini saya telah memanggil Sidang Meja Bulat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi membincangkan krisis Timur Tengah serta implikasinya terhadap ekonomi dan rakyat Negeri Selangor.

"Sidang Khas ini menghimpunkan beberapa pakar ekonomi, geopolitik dan industri tenaga untuk berkongsikan analisa dan unjuran awal kesan perang ini bersama pentadbiran kerajaan Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Amirudin berkata, perbincangan itu turut disertai ketua beberapa anak syarikat milik kerajaan negeri yang mempunyai kaitan langsung dengan situasi semasa.

Amirudin menjelaskan, sesi berkenaan menjadi platform awal dalam merangka gerak kerja serta kerangka kesiapsiagaan negeri menghadapi ketidaktentuan global memandangkan Selangor menyumbang 26.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

"Sebarang kesan kepada Selangor akan memberi impak langsung kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhan," jelas beliau.

Beliau menambah, usaha berkenaan adalah sebahagian daripada tindakan awal kerajaan negeri dalam menyokong langkah yang sedang digerakkan di peringkat Persekutuan.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Selangor mempunyai pengalaman berdepan pelbagai cabaran besar sebelum ini termasuk pandemik Covid-19, banjir besar Disember 2021 serta insiden letupan paip gas yang menyaksikan kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat dalam usaha pemulihan.

"Pasukan negeri akan membuat persediaan rapi berasaskan fakta dan maklumat terkini bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berkesan kepada rakyat serta industri," katanya.

Terdahulu, Amirudin turut merakamkan penghargaan kepada barisan pakar yang terlibat dalam sesi meja bulat atas perkongsian pandangan dan kepakaran mereka.

Beliau juga dijadual menghadiri Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Perdana Menteri pada Khamis bagi meneliti pelan tindakan di peringkat nasional sebelum pelaksanaan langkah susulan di peringkat negeri.