Konflik Asia Barat: Tiga Masjid Utama JAKIM Adakan Solat Hajat Jumaat Ini

LocalPolitics
11 Mar 2026 • 2:20 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Konflik Asia Barat: Tiga Masjid Utama JAKIM Adakan Solat Hajat Jumaat Ini

Tiga masjid utama di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan solat hajat Jumaat ini bagi memohon keamanan dan kesejahteraan susulan situasi konflik yang semakin meruncing di rantau Asia Barat.

Perkara berkenaan dimaklumkan menerusi kenyataan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee. Kenyataan tersebut dimuat naik di laman Facebook jabatan tersebut.

"Situasi konflik yang semakin meruncing di rantau Asia Barat ketika ini menuntut keprihatinan serta solidariti umat Islam di seluruh dunia untuk terus mendoakan keamanan dan kesejahteraan sejagat, khususnya ketika umat Islam kini memasuki fasa sepuluh malam terakhir Ramadan yang penuh keberkatan," ujar beliau menerusi kenyataan tersebut.

Sebagai langkah menyahut seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, JAKIM bakal menganjurkan Solat Hajat Khas untuk Keamanan Sejagat Jumaat ini, 13 Mac 2026.

Solat Hajat Khas yang dijadualkan berlangsung selepas solat jumaat ini melibatkan masjid bawah seliaan JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Baca juga:

"Semoga doa dan munajat yang dipanjatkan oleh umat Islam dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini diterima oleh Allah SWT serta menjadi asbab kepada terpeliharanya keamanan, keselamatan dan kesejahteraan sejagat," titip beliau.

Sebelum ini, JAKIM turut menganjurkan solat hajat serta bacaan Qunut Nazilah pada 1 Mac lalu.

Penganjuran itu sebagai tanda solidariti dan kebersamaan umat Islam terhadap krisis kemanusiaan di Gaza serta beberapa wilayah di Timur Tengah.

Sirajuddin berkata, inisiatif solat hajat dan Qunut Nazilah yang dianjurkan bertujuan memanifestasi keprihatinan dan kemanusiaan terhadap penderitaan saudara-saudara yang terkesan akibat konflik berpanjangan.

Bernama melaporkan Malaysia bersolidariti bersama semua umat Islam dan masyarakat di Timur Tengah yang terjejas susulan ketegangan berpunca daripada serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.

Terdahulu, serangan tersebut turut menjejaskan beberapa buah negara jiran yang mengancam keselamatan orang awam, termasuk rakyat Malaysia yang berada di sana.