Konflik Asia Barat: Wajarkah kerajaan laksana WFH bersasar?

LocalPolitics
13 Mar 2026 • 9:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Cadangan WFH dalam situasi ini boleh dilihat sebagai langkah sementara atau strategi pengurusan tenaga, bukannya perubahan kekal dalam sistem kerja sektor awam. Foto hiasan

SUSULAN harga minyak mentah dunia melonjak drastik akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat, timbul satu cadangan iaitu pelaksanaan dasar kerja dari rumah (WFH) di negara ini bagi sektor tertentu, namun dibuat secara bersasar.

Saranan itu dibangkitkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim pada Khamis yang mana katanya, langkah sedemikian membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar, menjimatkan kos pengangkutan rakyat dan menyumbang kepada pengurangan penggunaan bahan api dalam keadaan ekonomi masa kini.

Pada hemat beliau, kerajaan perlu mempertimbangkan pendekatan tersebut bermula di pejabat kerajaan, jabatan dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), sebelum diperluaskan kepada sektor swasta bersesuaian mengikut keperluan operasi masing-masing.

Dalam masa sama, tambahnya, langkah tersebut berpotensi membantu kerajaan mengurus perbelanjaan subsidi bahan api dengan lebih berhemah selain mengurangkan beban kos kepada rakyat yang terkesan dengan peningkatan harga minyak dunia.

Ujar Muhammad Kamil, cadangan tersebut dilihat langkah proaktif bagi mengurangkan pergerakan rakyat, sekali gus menjimatkan penggunaan petrol dan perbelanjaan subsidi bahan api khususnya RON95.

Jelas beliau, saranan pelaksanaan fleksibel seperti beberapa hari bekerja dari rumah dalam seminggu juga boleh dipertimbangkan tertakluk kepada kesesuaian fungsi jabatan, agensi dan organisasi.

Pada Selasa lepas, Perdana Menteri sementara Thailand, Anutin Charnvirakul mengarahkan agensi kerajaan dan perusahaan negeri untuk segera melaksanakan pengaturan WFH bagi mengurangkan penggunaan tenaga ketika ketegangan geopolitik berlarutan di Asia Barat.

Dalam konteks sebegini, cadangan untuk melakukan WFH dilihat sebagai salah satu langkah praktikal.

Pendekatan seumpama sebenarnya bukan perkara baharu memandangkan beberapa negara pernah menggalakkan kerja fleksibel atau WFH ketika berlaku krisis tenaga bagi mengurangkan penggunaan bahan api secara keseluruhan.

Walaupun faktor penjimatan tenaga menjadi antara sebab utama cadangan tersebut diketengahkan, pelaksanaannya masih perlu dinilai secara menyeluruh.

Ini kerana tidak semua sektor pekerjaan sesuai dilaksanakan daripada rumah, terutamanya yang melibatkan perkhidmatan bersemuka dengan orang ramai.

Justeru, cadangan WFH dalam situasi ini boleh dilihat sebagai langkah sementara atau strategi pengurusan tenaga, bukannya perubahan kekal dalam sistem kerja sektor awam.

Hari ini, cadangan berhubung kesesuaian pelaksanaan WFH bagi sektor awam diteliti dan berkemungkinan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Khas, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kerajaan mengambil maklum bahawa sebahagian syarikat telah melaksanakan kaedah kerja hibrid pasca pandemik dengan melaksanakan pengaturan WFH.

Apapun, sudah pasti perincian mengenainya ditunggu-tunggu lebih-lebih lagi sektor awam.