
MELAKA: Konflik dalaman Barisan Nasional (BN) Parlimen Tangga Batu yang membawa kepada penolakan terhadap beberapa calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah berakhir.
Timbalan Pengerusi BN Melaka, Datuk Rais Yasin mengakui isu itu timbul selepas pengumuman calon berlangsung tetapi berjaya diselesaikan atas prinsip kekeluargaan antara parti komponen.
Beliau berkata, semua pihak bersetuju untuk mengetepikan perbezaan bagi memastikan kemenangan BN di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Tangga Batu pada 14 November ini.
“Isu dalaman sudah selesai lama sebab apa? Seperti saya katakan tadi, semangat BN dalam satu keluarga, cuit paha kiri, paha kanan terasa.
“Jadi semua komited nak menangkan dan yang paling penting nak memastikan BN itu pada 14 November, insya-Allah, kembali mendapat mandat daripada rakyat Melaka,” katanya selepas menyempurnakan Pelancaran Pemasangan Bendera Jentera Pemuda BN Parlimen Tangga Batu di sini, semalam.
Empat kerusi DUN dalam Parlimen Tangga Batu adalah Paya Rumput, Sungai Udang, Klebang dan Pantai Kundor.
Calon yang dikatakan berdepan penolakan dalam ialah Datuk Lim Ban Hong di kerusi Klebang dan Datuk Tuminah Kadi di Pantai Kundor.
Rais yang juga calon di DUN Sungai Udang berkata, budaya politik memburuk-burukkan lawan sudah tidak relevan dengan landskap semasa.
“Alhamdulillah, saya ada bersama dengan Pengerusi MCA Melaka di sini, Datuk Lim Ban Hong dan kita dapat lihat beliau ada bersama kita, memberikan komitmen penuh.
“Ini adalah penggal keempat Datuk Lim Ban Hong bertanding di Klebang. Seperti yang kita sarankan, kita tak perlu politik yang memburuk-burukkan mana-mana pihak, kita ketengahkan kehebatan yang selama ini Datuk Lim jaga orang Klebang dengan baik,” katanya.
Dalam PRN Melaka kali ini, kerusi Paya Rumput yang disandang Rais diberikan kepada Perikatan Nasional (PN) atas dasar kerjasama kedua-dua gabungan.
Calon PN, Rafie Ahmad berdepan saingan tiga penjuru dengan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Azman Abidin dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Abdul Rashid Abu Bakar. – UTUSAN
The post Konflik dalaman BN Tangga Batu selesai appeared first on Utusan Malaysia.





