
PETALING JAYA: Penghantaran dan penugasan pasukan MALBATT di Lubnan untuk misi pengaman diteruskan selagi tiada keputusan rasmi daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) susulan konflik Israel-Palestin, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata misi pengaman MALBATT diteruskan seperti biasa walaupun Lubnan bersempadanan di sebelah Israel.
“Sebarang arahan pull-out akan diputuskan oleh PBB dan pasukan MALBATT 850-10 yang ketika ini di Lubnan berada dalam keadaan baik dan selamat. Penugasan MALBATT kali ini dilihat lebih mencabar ekoran konflik Israel-Gaza yang tercetus sejak 7 Okt lepas sehingga kini.
“Konflik ini dilihat semakin tegang dan meluas di antara kedua-dua belah pihak yang mengakibatkan ribuan nyawa terkorban dan kemusnahan harta benda akibat serangan roket, artileri, mortar dan pesawat udara,” katanya.
Mohamad berkata demikian dalam sidang media selepas menghantar Pasukan MALBATT 850-11 pada Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-11 ke Lubnan di Pangkalan Udara Subang, dekat sini, hari ini.
Menurutnya, konflik bergolak ini secara tidak langsung turut memberi kesan kepada situasi keselamatan di selatan Lubnan dan ia menjejaskan pengoperasian kontinjen MALBATT 850-10 serta MALBATT 850-11 jika konflik ini berpanjangan. -Bernama


