Konflik peletakan jawatan Gibran: Hubungan Malaysia-Indonesia kekal utuh

13 Nov 2026 • 3:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Konflik peletakan jawatan Gibran: Hubungan Malaysia-Indonesia kekal utuh

PUTRAJAYA: Hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia dijangka kekal utuh dan baik meskipun berdepan perkembangan politik susulan peletakan jawatan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Malaysia percaya hubungan baik antara kedua-dua negara akan terus terpelihara tanpa mengira dinamika politik yang berlaku di Indonesia.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, hubungan erat itu turut dicerminkan menerusi beberapa kunjungan rasmi pemimpin Malaysia ke negara berkenaan, termasuk lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

“Insya-Allah hubungan antara kedua-dua negara akan kekal utuh dan kekal baik dan saya baru pulang dari Jakarta beberapa minggu yang lalu.

“Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga ada membuat lawatan rasmi ke Indonesia dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia.

“Dan kita percaya hubungan yang baik antara kedua-dua negara akan terus utuh dan kekal tanpa mengira apa yang berlaku dinamika politik yang dimaksudkan,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangan dan harapan kerajaan Malaysia terhadap perkembangan politik di Indonesia serta kemungkinan kesannya terhadap kelangsungan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Semalam, Gibran secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden Indonesia kepada Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) selepas turut menyerahkan surat sama kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Peletakan jawatan itu berlaku ketika Gibran berdepan tekanan politik susulan kontroversi kelayakan akademiknya, termasuk keputusan mahkamah berkaitan dokumen pendidikan yang digunakan bagi memenuhi syarat pencalonannya pada Pilihan Raya Presiden 2024. – UTUSAN

The post Konflik peletakan jawatan Gibran: Hubungan Malaysia-Indonesia kekal utuh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved