Konflik percintaan, mahu dedah hubungan kepada isteri dikatakan punca pembunuhan Nur Farah Kartini. Abang tak tahu status hubungan adik

16 Jul 2024 • 2:40 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

TRAGEDI menimpa pekerja kedai percetakan, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, kian dirungkai.

Portal berita Harian Metro melaporkan, sumber berkata, konflik percintaan mereka berlarutan selepas mangsa mendesak suspek yang merupakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak untuk berkahwin dengannya.

"Mangsa dipercayai mengugut suspek akan membocorkan hubungan antara mereka kepada isteri suspek.

"Suspek yang sudah berkahwin itu berang dengan ugutan berkenaan. Mangsa kemudian dicekik sebelum dilemaskan di parit berhampiran mayat ditemui," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek adalah teman lelaki kepada mangsa.

Malah melalui siasatan ke atas lelaki itu yang membawa kepada penemuan mayat Nur Farah di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.

image is not available

Hussein berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata suspek berusia 26 tahun itu adalah anggota berpangkat Lans Koperal di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah berkhidmat selama lima tahun.

ABANG TIDAK TAHU STATUS HUBUNGAN ADIK

Abang Allahyarham Nur Farah Kartini, Mohd Farriza Azmi Abdullah mendedahkan bahawa beliau tidak mengetahui hubungan adiknya itu dengan suspek.

"Saya sebenarnya tidak tahu apa status hubungan arwah adik, Nur Farah dengan suspek yang ditahan pihak polis," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mohd Farriza Azmi, meskipun beliau rapat dengan satu-satunya adik perempuan dan adik bongsu daripada tujuh beradik itu tidak pernah menceritakan hal peribadi.

Terdahulu, Mohd Farriza memaklumkan jenazah adiknya itu akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Lereng Bukit, Miri, Sarawak untuk dikebumikan.

Bagaimanapun keputusan akhir pengebumian jenazah Nur Farah bergantung kepada keputusan ibu mereka yang akan tiba dari Sarawak malam ini.

image is not available

BAIK DENGAN BEKAS KAKAK IPAR

Bekas kakak ipar Nur Farah, Nor Amidah Mohd Ali, 36, berkata kali terakhir berhubungan dengan Allahyarham pada pada 5 Jun lalu.

Jelasnya, ketika Nur Farah memaklumkan dompetnya tercicir namun apabila ditanya di mana, tiada jawapan diterima.

Nor Amidah mendedahkan gadis itu seorang anak yang baik dan bertanggungjawab.

"Selepas tamat pengajian tahun lalu, di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), beliau nekad bekerja sambilan di Semenanjung untuk membantu ibu dan neneknya di kampung," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di sekitar kawasan perumahan Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak pada 8 pagi.

Menurut sumber, Nur Farah dilihat menaiki kereta berwarna merah yang tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftaran berikutan hujan pada waktu kejadian.

Mayatnya ditemukan di dalam kebun kepala sawit di Kampung Sri Kledang berdekatan dengan Felda Gedangsa, Hulu Selangor dipercayai dibunuh orang yang dikenali.